Setahun tiada pendapatan, Murali Abdullah hutang dalam talian

TIADA pendapatan akibat masalah kesihatan kronik dan tinggal sendirian, pengarah Murali Abdullah terpaksa berhutang menerusi aplikasi dalam talian bagi menampung keperluan harian.

Katanya, dia terpaksa berbuat demikian berikutan bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diterima sejak tahun lalu terhenti selepas berdepan masalah proses pembaharuan permohonan.

Saya tiada sumber pendapatan. Dulu ada kawan bantu tetapi sekarang dia sakit. Saya pernah dapat bantuan MAIWP setahun, itu pun sudah berhenti tahun lalu sebab ada masalah untuk ‘renew’.

“Bila buka telefon, ada aplikasi seperti Shopee Pay, saya terpaksa berhutang dahulu terutama untuk keperluan harian,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Seni Madani di Kafe Banafee, hari ini.

Katanya yang lumpuh separuh badan selepas serangan angin ahmar, kemudahan beli dahulu bayar kemudian (BNPL) hutang tersebut dilunaskan apabila menerima bantuan daripada orang ramai termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Pendapatan memang tiada langsung, memang susah. Bila Finas beri duit bantuan, saya gunakan untuk bayar balik hutang itu. Bantuan ini penting bukan untuk kaya, tetapi untuk teruskan kehidupan.

“Saya berbesar hati Finas sanggup membantu walaupun saya pernah menyakiti hati mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, pengarah filem Aku Kaya The Movie itu berkata, dia kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda selepas diserang strok buat kali kedua pada 2018, selain mengalami serangan jantung kronik tahun lalu.

“Saya pernah diserang strok pertama pada 2011 dan strok kedua pada 2018 yang menyebabkan tangan dan kaki tidak boleh bergerak. Tahun lalu pula saya kena serangan jantung kronik.

Anak perempuan sudah tiada untuk menjaga saya. Saya jaga diri sendiri. Anak lelaki ada tetapi dia sudah berkahwin dan bekerja. Jadi sekarang saya duduk seorang diri,” ulasnya.

Sementara itu, Finas menerusi program Ziarah Seni Madani tampil menghulurkan sumbangan wang tunai kepada sutradara berusia 63 tahun itu bagi meringankan bebannya.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS merangkap Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi serta Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri FINAS, Faiz Amran. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok