DALAM dunia seni lakon Indonesia yang melahirkan begitu ramai bintang berbakat, nama Reza Rahadian berdiri sebagai antara yang memiliki kelas tersendiri.
Bukan semata-mata dek wajahnya yang mudah dikenali ramai atau deretan filem popular menghiasi kerjayanya, tetapi kerana kebolehan menjadikan setiap watak yang dimainkan terasa hidup dan meyakinkan.
Daripada watak romantik, lelaki berkarisma, tokoh sejarah hinggalah karakter yang sarat dengan konflik emosi, Reza membuktikan bahawa julat lakonannya begitu luas.
Dia ibarat sesumpah yang boleh berubah wajah — campaklah watak apa sekalipun kepadanya, pasti digalas dengan cemerlang. Jadi tidak hairan namanya sering dipilih juri untuk menjulang trofi pelakon terbaik di festival-festival filem Indonesia.
Baru-baru ini, Reza diumumkan sebagai pelakon utama filem terbitan produksi Malaysia iaitu Langit 2 Warna hasil nukilan pengarah terkenal, Erma Fatima.
Pengumuman itu nyata mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini Reza belum pernah berlakon bersama produksi tempatan dan ini merupakan filem Malaysia pertamanya.
Kekangan jadual
Menurut Reza atau nama lengkapnya Reza Rahadian Matulessy, 39, sebelum ini dia pernah mendapat tawaran daripada produksi Malaysia untuk membintangi sebuah filem bergenre aksi, namun jadualnya tidak mengizinkan.
“Bukan saya tidak mahu berlakon filem Malaysia sebelum ini. Sejujurnya memang ada tawaran dari produksi Malaysia untuk filem aksi. Tetapi saya tidak berkesempatan. Justeru watak saya digantikan dengan pelakon lain.
Ketika ditawarkan membintangi filem Langit 2 Warna, saya mengambil masa selama dua bulan sebelum bersetuju. Christine Hakim yang meyakinkan saya untuk terima projek ini kerana dia terlebih dahulu sudah membaca skrip. Pendapat dan pandangannya sangat penting untuk saya.
“Dalam masa sama, saya sedang menyiapkan skrip untuk filem arahan saya yang seterusnya. Jadi ketika itu, terfikir sama ada saya mempunyai waktu yang cukup untuk terima projek ini.
“Bila saya baca skrip, saya jatuh cinta dengan jalan ceritanya. Watak ini juga agak mencabar,” katanya.

JARANG terlibat dalam naskhah bernuansa islamik, Reza teruja untuk berlakon di bawah arahan Erma Fatima.
Biarpun sudah banyak filem dibintanginya, namun jarang sekali dia terlibat dengan filem bergenre islamik. Kata Reza, bukan dia tidak mahu terlibat dengan filem sebegitu, tetapi kurang yakin dengan dirinya sebelum ini.
“Filem-filem bergenre islamik lebih sesuai dengan Fedil Nuril. Dia duta poligami. Tiada yang mampu mengalahkan dia.
“Sebenarnya saya sukar untuk terima filem yang menuntut saya untuk berdakwah tentang apa yang betul atau apa yang salah. Saya terima Langit 2 Warna kerana Erma tidak memaparkan tentang siapa yang betul dan siapa yang salah. Tetapi bagaimana kita boleh bersama dalam kemuliaan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia teruja untuk bekerja di bawah arahan pengarah wanita seperti Erma Fatima.
Saya mengenali Erma sejak tahun 2017 lagi. Dia pernah datang ke rumah saya bersama Baim Wong. Kemudian tahun ini kami bertemu lagi ketika tayangan perdana filem Pangku di Kuala Lumpur.
“Sejujurnya saya teruja untuk berlakon di bawah arahan pengarah wanita. Tambahan pula filem ini adalah cerita yang menampilkan watak lelaki sebagai dominan. Saya rasa ini akan menjadi sesuatu yang menarik,” jelasnya.
Kagum dengan Eman Manan
Ditanya apakah perkara yang paling dinantikan untuk penggambaran filem ini nanti, kata Reza, dia tidak sabar untuk bergandingan bersama pelakon terkenal tanah air, Eman Manan.
Sewaktu sidang media filem ini berlangsung, jelas kelihatan riak wajahnya yang kagum melihat Eman tatkala aktor itu melontarkan kata-kata. Wajah Eman ditatapi dan bait-bait yang diucapkan Eman diamati sepenuhnya.
“Saya tak sabar bekerja dengan Eman Manan. Saya banyak dengar cerita tentangnya sebelum ini. Saya juga baca sejarah latar belakangnya.
“Saya betul-betul kagum dan terpegun sewaktu sesi membaca skrip yang dilakukan sebelum sesi sidang media.
Selepas sesi itu saya beritahunya bahawa dia seorang aktor yang sangat hebat. Cara dia melontarkan dialog sangat memukau. Satu penghormatan buat saya untuk berlakon bersamanya. Dia pelakon A+. Kami ada banyak babak bersama,” kongsinya teruja.
Selain Reza dan Eman, Langit 2 Warna turut dibintangi Christine Hakim, Ummi Nazeera, Datin Paduka Umie Aida, Zizi Kirana, Sharifah Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Dalam perkembangan lain, kehadiran Reza di Kuala Lumpur bukan sekadar menghadiri sidang media filem Langit 2 Warna semata-mata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem My Stupid Boss 3 bersama Bunga Citra Lestari di sini. – HIBGLAM
