SERAMAI 34 pempengaruh dari sembilan negara bakal berentap dalam All Star Championship (ASC) 2026 bagi merebut kejuaraan serta hadiah bernilai RM200,000 pada 17 Oktober depan.
Berlangsung di Flamingo Hotel, Kuala Lumpur, kejohanan itu tampil dengan skala lebih besar selepas edisi Malaysia tahun lalu sebelum mengembangkan sayap ke Dubai pada April 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif All Star Championship, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, ASC 2006
menghimpunkan peserta Malaysia, Indonesia, India, Pakistan, Filipina, Vietnam, Jepun, Nigeria dan Morocco, sekali gus menjadikan kejohanan ini sebagai platform mempertemukan komuniti pempengaruh antarabangsa dalam satu gelanggang sukan.
“Tahun ini kita mahu bawa ASC ke satu tahap yang lebih besar dengan mengumpulkan 34 influencer dengan masing-masing datang dengan karakter, komuniti serta kekuatan tersendiri.
“Selepas edisi Malaysia tahun lalu dan Dubai pada April, jangkaan untuk ASC 2026 memang tinggi malah kita mahu memastikan pengalaman yang diberikan kepada peserta serta penonton juga lebih besar.
“Sudah tentu persediaan kami juga penting bagi memastikan kejohanan ini berjalan lancar malah edisi ini lebih gah apabila menggabungkan elemen sukan, digital, hiburan dan pelancongan,” katanya.
Menurut Abd Rahman, pengaruh digital peserta turut dimanfaatkan bagi memperluaskan capaian promosi Malaysia menerusi media sosial, termasuk memperkenalkan makanan, budaya dan destinasi pelancongan tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Pempengaruh hari ini mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam dunia digital serta sukan dan dalam masa sama, kita mahu gunakan platform ini bagi memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi acara antarabangsa terutama sukan tinju.
“Malah, kejohanan mega seumpama ini juga dapat mempromosikan VM2026 secara digital terus kepada dunia,” ujarnya.
Antara peserta Malaysia yang bakal berentap ialah Amir Harris, Jai JMT, Mikha, Fareez, Ikmal Dany, Ijat Separuh Rempit, Arai, Fariq Mcfly, Adan, Smokey MJ, Cemanzz, Dan, Raheem Hakim, Royspark dan Oyot.
Turut menyertai kejohanan ialah Chima, Kumala, Wawan, Cogan, Ayu Aulia, Elsa Nabila dan Abdi dari Indonesia; Gulfishan dari India; Abrar, Zainab dan Hira dari Pakistan; Altina dari Filipina; Filip dari Vietnam; Takaharu dari Jepun serta KRU dan Hicham dari Morocco.
Abd Rahman berkata, aspek persediaan peserta turut diberi perhatian bagi memastikan setiap pertarungan berlangsung dalam suasana kompetitif dan profesional.
“Kita mahu peserta datang dengan persediaan yang betul. Mereka mungkin dikenali sebagai influencer di media sosial, tetapi apabila masuk ke gelanggang, mereka perlu mempunyai disiplin, komitmen dan persediaan seorang atlet.
“Itulah mesej yang kita mahu bawa kepada generasi muda bahawa pengaruh digital juga boleh digunakan untuk menggalakkan gaya hidup aktif, disiplin, kecergasan dan keberanian mencabar diri,” katanya.
Pada ASC 2025, tiga pempengaruh iaitu Imranul Afeendy, Mat Alip dan Fareez Fauzi muncul sebagai juara dalam kategori mereka.
Sementara itu, edisi Dubai menyaksikan aktres Trisha Ooi, Amir Harris, Bombitta dan Nendi merangkul kejuaraan selepas menumpaskan lawan masing-masing. – HIBGLAM

