‘Saya dah lepaskan semua masa silam, jadi iktibar’ 

ZAMAN nakal dan kesilapan yang berlaku sewaktu tercari-cari arah bukan sesuatu yang harus kekal menjadi bayang hitam, sebaliknya iktibar untuk meneruskan kehidupan lebih baik pada masa depan. Itu pegangan penyanyi rap, MK K-Clique yang tidak melenting jika kisah silamnya dijadikan ungkitan orang.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 30, berkata, jika ada pihak lain berkongsi semula kisah negatif masa lalunya, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang menjadi kudis buatnya.

“Saya dah lepaskan semua masa silam saya. Tak salah kalau orang ‘throwback’ kisah lampau sebab tindakan itu akan beri saya peringatan agar terus berusaha menjadi insan lebih baik.

“Bagi saya tiada masalah sebenarnya, semua orang pun ada kisah silam tersendiri dan turut melalui perubahan dalam melayari fasa kehidupan. Paling penting adanya perubahan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur. Segala yang kita lalui dalam kehidupan sama ada baik mahupun sebaliknya dapat dijadikan iktibar,” katanya ketika pelancaran drama bersiri Sekali Lagi Bahagia, baru-baru ini.

Menurut anggota kumpulan K-Clique itu, perubahan paling ketara dalam kehidupannya adalah daripada gemar menghabiskan masa di luar kepada lebih selesa di rumah bersama keluarga.

MK juga bapa kepada seorang cahaya mata, Aya Rayana, turut menganggap dirinya bertuah kerana diberikan peluang menyaksikan sendiri perkembangan permata hati yang kini berusia dua tahun.

BERGELAR bapa, MK berasa cukup bertuah kerana diberikan peluang menyaksikan sendiri perkembangan permata hati yang kini berusia dua tahun.

Katanya, jadual lakonan yang tidak sekerap dahulu memberi ruang untuknya meluangkan lebih banyak masa bersama insan tersayang selain menyaksikan permata hati membesar di depan mata.

“Saya diberi Allah peluang untuk tengok anak membesar. Dengan kerjaya saya dalam bidang lakonan yang tak terlalu kerap macam sebelum ini, saya percaya itu perancangan-Nya.

“Kalau sibuk berlakon, kadangkala pergi set awal pagi dan balik tak tahu pukul berapa. Jadi masa itu terhad. Tapi sekarang kerja pun ada, masa dengan keluarga pun dapat saya penuhi.

“Sekarang lebih fleksibel. Kalau kerja di luar kawasan saya bawa sekali anak dan isteri. Bekerja sambil manfaatkan masa dengan orang tersayang,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai drama bersiri Sekali Lagi Bahagia terbitan iQIYI Original, MK mengakui teruja bekerja bawah arahan Jamal Khan serta bergandingan dengan ramai pelakon berpengalaman.

Mula disiarkan pada 25 September nanti, drama berkisarkan perjalanan hidup ibu tunggal anak satu itu turut dibarisi Zara Zya, Izzue Islam, Afieq Shazwan serta Dayang Areeda.

“Saya memegang watak kawan serumah kepada adik Ekim (Zara Zya) iaitu isteri yang diceraikan suami dan kemudian menumpang di rumah bujang adiknya, Remy (Afieq).

“Banyak babak yang saya pasti membuatkan penonton turut sama dibawa melayari cerita sarat konflik serta kejutan ini. Dalam naskhah ini saya sebagai Han,” ujarnya mengenai naskhah terbitan Orange Tree tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok