‘Terlalu banyak maki hamun, sampai sentuh ibu bapa, maruah saya’

PERCAYA setiap perkara berlaku pasti  ada hikmah, pengarah drama Madu Atau Racun, Eyra Rahman mengakui kontroversi membabitkan karya arahannya itu memberi tekanan, namun memilih untuk menerima segala ketentuan dengan hati terbuka.

Ujar Eyra atau nama sebenarnya Nor Zahirah Abdul Rahman, 44, dia enggan mengulas panjang isu berkenaan memandangkan drama garapannya itu masih melalui proses tapisan serta membabitkan beberapa pihak termasuk kementerian.

“Apabila jadi macam ini, tipulah kalau saya kata tidak tertekan. Tetapi mungkin ada hikmah dan asbab di sebalik perkara tersebut berlaku.

Secara jujurnya, semuanya sudah berselirat sekarang. Saya tidak boleh jawab terlalu panjang kerana perkara ini masih dalam proses tapisan.

“Lagi pula, perkara ini melibatkan banyak pihak termasuk kementerian,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Eyra, tekanan yang ditanggung bukan hanya keraa hasil kerjanya dikecam malah ada segelintir pihak melontarkan kata-kata kesat sehingga menyentuh soal keluarga serta maruah dirinya.

“Perkara itu sebenarnya sudah menjadi luar batas. Terlalu banyak maki hamun, malah ada juga sampai menyentuh ibu bapa dan maruah saya namun saya bersyukur kerana Allah ada, insya-Allah.

Benda ini sudah berlaku. Jadi mungkin selepas ini, kalau ada karya membabitkan isu sangat sensitif, saya akan fikir dua atau tiga kali sebelum menerima karya tersebut,” jelasnya pada watch party drama Bulan Henti Bicara, kelmarin.

Kontroversi tercetus selepas drama bersiri lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha itu mencuri perhatian di media sosial susulan penularan beberapa babak didakwa memaparkan hubungan sesama jantina.

Penularan babak terbabit mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, malah ada pihak menyeru orang ramai supaya memboikot drama berkenaan.

Susulan polemik tersebut, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meminta pihak iQIYI menurunkan keseluruhan tayangan drama berkenaan bagi membolehkan suntingan semula dibuat membabitkan kesemua 12 episod. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok