PENYANYI versatil Alif Satar memasang impian menemu bual legenda bola sepak terkenal kelahiran Perancis, Zinadine Zidane dan penyanyi kelahiran England, Cat Stevens sempena program kembara berkonsepkan islamik yang bakal dikendalikannya.
Menurut Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 34, dia bersama band The Locos bakal ke London dan Paris untuk menjalani penggambaran program kembara berkenaan selain mengadakan konsert bersama kumpulan Raihan di sana.
Di sana nanti kita akan cuba untuk menemubual beberapa figura terkenal beragama Islam. Dalam senarai saya ada Zinadine Zidan dan penyanyi Cat Stevens.
“Harap-harap dapatlah menemubual mereka nanti. Kita akan cuba selami bagaimana figura terkenal yang beragama Islam menjalani kehidupan mereka di bumi eropah.
“Saya sangat teruja kerana sekarang ini ramai suka melihat kandungan berkaitan agama dengan sukan dan muzik,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Beyond Borders Kita Sama, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kolaborasi bersama kumpulan Raihan, kata Alif disebabkan sambutan hebat yang diterima sewaktu menjayakan konsert di London bersama The Locos pada April lalu, dia sekali lagi diundang untuk mengadakan persembahan di sana.
“Alhamdulillah konsert baru-baru ini berlangsung dengan jayanya. Apabila diundang ke sana sekali lagi bersama kumpulan Raihan semestinya saya sangat gembira.
Kali ini kami juga akan membuat persembahan di Paris. Orang Perancis sangat sukakan seni, begitu juga dengan kami.
“Di Paris nanti saya akan membuat persembahan di atas kapal persiaran merentasi Sungai Seine,” kongsinya.
Konsert yang dianjurkan oleh Light Upon Light itu akan berlangsung di Paris pada 6 Oktober manakala di London pula pada 11 Oktober 2024. – HIBGLAM