‘Bonda bisik ini mungkin persembahan terakhirnya dengan saya’

BISIKAN terakhir Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebelum mereka membuat persembahan bersama pada Ogos 2025 sentiasa dalam ingatan penyanyi itu.

Siti berkata, kata-kata yang dilafazkan isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pada Ogos 2025 itu meninggalkan kesan mendalam sehingga beliau tidak mampu menahan sebak.

Kenangan bersama Bonda Tun Hasmah tidak akan hilang daripada ingatan saya selamanya. Semasa persembahan, Bonda berbisik kepada saya, ‘Ini mungkin persembahan terakhir bersama saya’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerana itulah saya tidak dapat menahan air mata dan terus menangis sepanjang latihan bersama arwah,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.

Siti dan Tun Siti Hasmah sebelum ini pernah berkongsi pentas dalam beberapa acara termasuk Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan pada 2019 yang menyaksikan tokoh terbabit mengalunkan biola mengiringi nyanyian Siti.

Kenangan itu kembali berulang pada Ogos tahun lalu apabila Allahyarham sekali lagi mengiringi persembahan penghibur itu menerusi lagu Gubahanku dengan gesekan biola yang dihadiahkan penyanyi itu kepada beliau.

Persembahan tersebut berlangsung dalam Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) – Sounds of Malaysia di Universiti Multimedia (MMU).

Menurut Siti lagi, antara momen lain yang kekal dalam ingatannya adalah pelukan erat Allahyarham pada ketika itu.

Saya dapat rasakan pelukan erat seorang ibu. Saya pun rasa tak nak lepaskan pelukan erat itu.

“Bonda Tun Siti Hasmah akan selalu berada dalam doa saya, sebagaimana emak dan abah (bapa) saya,” ujarnya.

Pagi semalam rakyat Malaysia kehilangan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun.

Terdahulu, Siti menyifatkan pemergian tokoh dihormati ramai itu sebagai kehilangan besar negara, selain mengenang Allahyarham sebagai sosok penyayang, lemah lembut dan memiliki sifat keibuan yang tinggi.

Beliau turut memberikan penghormatan terakhir dengan menziarahi kediaman keluarga Allahyarham di Mines Resort City, Seri Kembangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok