“SAYA tak sabar nak menghalalkan hubungan kami”.
Itu jawapan Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq ketika ditanya tentang perasaannya menghitung hari bahagia bersama Bella Astillah pada 10 Oktober nanti.
Menurut Saddiq atau nama lengkapnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, dia tidak rasa berdebar, tetapi tidak sabar untuk bergelar suami kepada Bella.
“Perasaan saya lebih kepada tidak sabar berbanding berdebar. Tak sabar nak kongsikan hari bahagia kami bersama semua termasuklah keluarga dan sahabat andai.
“Saya selalu kongsikan kepada bakal isteri saya, kebahagiaan perlu dikongsikan kepada semua kerana tanpa doa, sokongan dan dorongan orang ramai, mungkin hari ini (perkahwinan) tidak akan terjadi. Setiap orang ada saham dalam menjayakan perkahwinan kami.
“Dan disebabkan itulah kami akan adakan dua resepsi bertemakan kenduri rakyat di Muar Johor pada 25 Oktober dan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober,” kongsinya di majlis sidang media Walimatulurus Bella Astillah Dan Syed Saddiq, di sini, hari ini.
Disebut-sebut bakal menjadi wedding of the year bagi tahun 2026, kata Bella tidak terlintas dalam fikirannya dan bakal suami untuk menganjurkan majlis perkahwinan yang gah demi mendapatkan pengiktirafan tersebut.
“Saya rasa tak layak pun untuk dapat gelaran wedding of the year. Majlis perkahwinan kami bukan untuk dimegahkan. Saya cuma berharap majlis nanti dipermudahkan,” jelasnya.
Menariknya perjalanan kisah cinta mereka dari mula perkenalan sehingga menjelang hari perkahwinan bakal disiarkan dalam program khas Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq yang akan ditayangkan di Astro Ria bermula 6 Oktober 2026.
Untuk rekod pasangan yang mendapat julukan sebagai BASS ini mengikat tali pertunangan pada 28 Mac. – HIBGLAM
View this post on Instagram

