Demi ‘aroma cinta’, Nabila terbang ke Paris sedia berkahwin

MAHU memastikan setiap perincian hari perkahwinannya cukup istimewa, personaliti media sosial dan usahawan, Noor Nabila sanggup terbang ke Paris, Perancis demi mencari wangian yang bakal menjadi ‘aroma kenangan’ hari bahagianya bersama jejaka pilihan, Ameer Aiman.

Nabila, 41, berkata, dia bersama Ameer meluangkan masa selama seminggu di kota romantik tersebut bagi melakukan beberapa persiapan menjelang perkahwinan mereka yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.

Antara yang menjadi keutamaannya adalah memilih minyak wangi peribadi yang bukan sahaja akan dipakai pada hari pernikahan, malah diharapkan mampu menjadi simbolik kepada detik bersejarah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih mengujakan, kunjungannya ke Paris turut memberi kejutan apabila berpeluang bertemu pengasas bersama jenama wangian terkenal Ex Nihilo, Benoît Verdier yang kemudian menawarkan untuk menghasilkan aroma khas buatnya.

Saya tak sangka apabila Verdier sudi mencipta wangian khas untuk hari bahagia saya.

“Lebih istimewa, kami memilih Ex Nihilo Lust In Paradise sebagai asas dan Verdier menambah elemen rosen menggunakan teknologi The Osmologue bagi menghasilkan aroma yang lebih floral, feminin dan romantik.

“Minyak wangi ini adalah satu memori. Saya mahu wangian ini sentiasa mengingatkan saya kepada hari perkahwinan walaupun bertahun-tahun selepas itu,” katanya.

Pertemuan tersebut akhirnya melahirkan wangian eksklusif versi ‘one-of-one’ yang bakal digunakan Nabila pada hari perkahwinannya bersama Ameer nanti.

Noor Nabila bersama kekasih, Ameer Aiman sempat bertemu dengan pengasas jenama wangian terkenal Ex Nihilo, Benoît Verdier.

Menurut kakak kepada selebriti popular Neelofa itu, pemilihan Ex Nihilo juga bukan dibuat secara kebetulan memandangkan dia sudah lama meminati wangian keluaran jenama berkenaan.

“Ex Nihilo sudah bertapak hampir 13 tahun dan jenama ini memang sentiasa menjadi antara kegemaran saya.

Saya memang sukakan wangian dan merancang supaya hari bahagia nanti ‘dibaluti’ dengan aroma istimewa agar menjadi satu memori indah yang boleh dikenang sampai bila-bila,” ujarnya.

Terdahulu, hubungan Nabila dan Ameer menjadi perhatian ramai selepas pasangan itu dilaporkan bakal melangkah ke alam perkahwinan hujung tahun ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok