‘Saya tak rendah diri sebab kulit gelap’

SEDAR dirinya didiskriminasi, pelakon dan model Sharifah Haneesya menegaskan tidak pernah berasa rendah diri dengan warna kulit gelap seperti yang didakwa segelintir pihak.

Menurut Haneesya atau nama penuhnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan 26, dia berbangga memiliki warna kulit yang dianggap sebagai ‘kontra’ daripada pelakon lain.

“Warna kulit gelap tidak pernah menyusahkan diri sendiri dan saya lantang berkongsi mengenai isu warna kulit bukan kerana mahu layanan istimewa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadang-kadang saya takut kalau bercerita, orang akan salah faham. Saya bukan bercakap mengenai kulit gelap untuk meminta simpati atau merayu mendapatkan tawaran kerja.

“Saya cuma berkongsi pengalaman dan memberitahu bahawa keadaan itu sukar untuk saya lalui tetapi orang salah tafsir dan fikir saya mahu jalan pintas dan perhatian, sedangkan tidak,” katanya dalam temu bual audio siar bersama pengacara, Datuk Aznil Nawawi.

Tambahnya, dia memilih untuk lantang bersuara mengenai isu warna kulit selepas mendengar kenyataan seseorang yang memberitahunya sukar untuk medapat tawaran kerja disebabkan hal tersebut.

“Saya pernah mendengar seseorang cakap tetapi tidak ingat siapa yang memberitahu antara sebab saya sukar mendapat kerja adalah kerana kulit saya gelap.

“Katanya, kalau pelakon yang menjadi gandingan saya berkulit cerah, pihak produksi perlu melakukan lebih banyak kerja seperti menambah pencahayaan ketika penggambaran. Saya bersumpah, memang ada seseorang yang pernah berkata begitu kepada saya.

“Kemudian, saya terfikir, patutlah ramai pelakon yang berkulit putih. Itu bukan andaian sendiri sebaliknya sebab ada orang yang cakap sendiri kepada saya,” katanya lagi.

Katanya, perasaan rendah diri disebabkan warna kulit gelap tidak pernah wujud dalam dirinya.

“Apa yang diperkatakan dalam media sosial bahawa saya berasa rendah diri dengan warna kulit sendiri itu tidak benar.

“Saya tidak pernah rasa begitu. Perkara itu tidak pernah terbit daripada mulut saya.

“Tidak tahu mengapa wujud dakwaan saya tidak yakin dengan warna kulit sendiri,” ujarnya

Mengakui penat berdepan pelbagai reaksi masyarakat, Haneesya bagaimanapun enggan berdiam diri kerana percaya setiap usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu warna kulit kepada umum.

“Penat, namun lebih baik terus bersuara daripada langsung tidak memperjuangkan perkara ini.

“Lebih baik saya lakukannya daripada tidak mencuba langsung. Emak saya selalu cakap, tidak mengapa kalau bukan 100 orang yang mendengar, 50 orang pun tidak mengapa. Itu pun sudah satu kemenangan.

“Kalau bukan 50 orang, lima orang yang mendengar pun masih bermakna kerana mereka tetap manusia. Kita masih boleh mengubah kehidupan lima orang itu.

“Saya rasa perkara itulah yang sudah tersemat dalam jiwa saya. Sebab itulah apabila isu ini tular, saya okey kerana walaupun banyak kebencian, masih ramai yang mesej saya dalam media sosial berikan respons positif,” jelasnya.

Sebelum ini, Haneesya mengakui berasa pelik memikiran situasi masih bergelut mencari peluang untuk melakonkan watak utama biarpun sudah bertahun-tahun berada industri.

Katanya, dia adakalanya menyalahkan diri sendiri atas kisah silamnya yang pernah menggegar industri satu ketika dahulu sebagai punca jalan sukar yang dilaluinya hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok