GENAP tiga dekad merintis belantara seni, Spider mengesahkan dinamika karisma mereka sebaik pentas Idea Live Arena Damansara hujung minggu lalu bergema dengan nyanyian dan sorakan menerusi Konsert Spideraya.
Menguasai gelanggang lebih dua jam, persembahan sempena ulang tahun ke-30 kumpulan itu bagaikan membuka kembali helaian album lama.
Daripada lagu peneman zaman remaja hinggalah karya yang terus basah di bibir peminat hari ini, Spider ditunjangi Tam selaku vokalis dan pemain gitar bersama Pown (gitar utama), Iss (bes) dan Aie (dram) membuai sukma penonton menyusuri perjalanan dalam nuansa sarat nostalgia.
Seawal persembahan, tenaga ditonjolkan band asal Johor itu melonjakkan adrenalin khalayak sehingga segenap penjuru dewan tidak sunyi daripada sorakan penonton pelbagai lapisan usia.
Malam itu, Spider melepaskan geram dengan meledakkan 31 seleksi mahakarya dari buah tangan sulung, Ngam Ho sehingga album studio terakhir, Ankabut yang dihasilkan 10 tahun lalu sehabis baik. Cukup sempurna.

PERSEMBAHAN bersempena ulang tahun ke-30 kumpulan Spider bagai membuka kembali helaian album lama yang sarat kenangan.
Antara repertoire yang dibahagikan kepada tiga segmen termasuk Kacap Terlabik, Cinta Dewa Dewi, Phobia, Tapi Bagaimana, Buat Sang Puteri, Mungkinkah Terjadi, Kenal, Nazraku, Laukku Cukup Masin, Mabuk, Kasih Latifah serta Aladin.
Setiap kali ledakan melodi keramat membelah ruang suasana, penonton seakan-akan direntap melintasi garis masa lalu, pulang ke daerah memori silam masing-masing.
Hampir 5,000 suara audiens juga bersatu dengan si pemilik vokal serak basah itu dan rakan sekumpulannya menjadikan gelanggang tersebut sebagai saksi sebuah pengembaraan panjang.
Itulah manifestasi keampuhan Spider yang menzahirkan magis Spideraya apabila menggauli emosi dan menggamit nostalgia suka duka penonton menerusi untaian khazanah malar segar mereka.
Tam selaku ‘kepala’ agenda ‘raya’ Spider begitu selesa mengemudi pentas, sesekali berinteraksi dengan penonton dan membiarkan muzik menjadi bahasa paling tulus menghubungkan mereka dengan pendengar.
Lebih menyentuh hati apabila Tam turut menggunakan pentas berkenaan untuk menyampaikan penghargaan kepada insan yang pernah menjadi sebahagian daripada pengembaraan hidup dan muzik mereka.

DIKUASAI muzik rock dengan pengaruh ska, Spider sebuah band dengan identiti tersendiri yang kini menjalar ke level legenda sehebat Wings mahupun Search.
Di celah kemeriahan persembahan mega tersebut, diselitkan momen yang membuat suasana berubah menjadi lebih syahdu apabila mereka mengenang rakan seperjuangan yang sudah tiada.
Lagu Permataku Suria, yang didedikasikan buat sahabat dan insan seni yang telah pergi termasuk penulis lirik tersohor, Allahyarham Loloq menjadi antara detik paling emosional pada malam berkenaan.
Ketika melodi lagu berkenaan dialunkan, atmosfera yang sebelumnya sarat sorakan bertukar hening tanda penonton turut bertafakur mengenang insan yang pernah sama-sama mewarnai perjalanan band tersebut.
Momen berkenaan juga menunjukkan tiga dekad bukan hanya angka, tetapi menyimpan terlalu banyak cerita, percintaan, kehilangan, persahabatan serta kenangan yang tidak mungkin dipadam waktu.
Dalam kesempatan sama, Tam turut menyentuh usaha membantu anak kepada rakan seperjuangan daripada kumpulan Flop Poppy iaitu Andy, sebagai tanda peduli terhadap sahabat serta nilai kekeluargaan antara mereka.

SEBANYAK 31 lagu dari buah tangan sulung, Ngam Ho sehingga album studio terakhir, Ankabut yang dihasilkan 10 tahun lalu disampaikan lebih dua jam di pentas Spideraya.
Seruan tersebut disampaikan secara terbuka dari pentas, menjadikan konsert itu juga selaku platform menyuarakan keprihatinan sesama anak seni yang diuji kesukaran.
Anak Andy, Inaz yang menghidap penyakit skoliosis serius dengan lengkungan tulang belakang mencecah kira-kira 48 darjah memerlukan lebih RM90,000 bagi kos pembedahan.
DNA ska
Menoktahkan fasa melankolik, Spider kemudian kembali menyemarakkan gelombang konsert menerusi rentak agresif, seterusnya membuatkan penonton kembali melonjak.
Kacap Terlabik, Kerongsang, Ayat Penyengat antara lagu yang membakar semangat ramai, manakala Cinta Dewa Dewi, Phobia dan Tapi Bagaimana pula membuktikan karya Spider masih utuh berada di tempat istimewa dalam hati pendengar.

TAM turut menyeru peminat untuk membantu rakan seperjuangan daripada kumpulan Flop Poppy iaitu Andy yang memerlukan RM90,000 untuk kos pembedahan penyakit skoliosis yang dihidap anaknya.
Tidak ketinggalan Ngam Ho, Buat Sang Puteri dan Mungkinkah Terjadi yang mengundang nyanyian beramai-ramai, memperlihatkan betapa kuatnya memori kolektif peminat terhadap karya mereka.
Lebih dua jam beraksi, Spider akhirnya menutup tirai tepat pukul 11.35 malam dengan Rela Ku Pujuk, namun laungan penonton yang masih bergema seolah-olah belum rela detik penuh kepuasaan itu berakhir.
Pilihan tersebut seperti noktah tepat buat sebuah malam istimewa berkenaan juga pada masa sama seolah-olah mengesahkan lagi gelaran diberikan pemerhati seni iaitu ‘serangga genius’ dari Johor benar belaka.
Keunikan gaya muzik rock berunsurkan pengaruh ska dibawakan sejak penubuhan mereka pada 1996 terus kental sebagai DNA yang membezakan band terbabit dengan kumpulan lain.
Jika tiga dekad lalu Spider mengisi ruang radio dengan lagu siulan ramai, hujung minggu lalu hadirin bersaksi bahawa karya mereka ibarat nafiri yang mampu mencetus gempita suara peminat.
Konsert Spideraya nyata tidak sekadar ritual sambutan ulang tahun, sebaliknya perayaan pertembungan rentas masa yang meletakkan mereka antara gergasi pentas dikagumi ramai. – HIBGLAM

