SALURAN penstriman, Viu Malaysia membuktikan karya terbitan tempatan mampu mencuri perhatian di pentas Asia apabila meraih lima kemenangan peringkat kebangsaan pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut menyaksikan pelakon Emma Maembong dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Viu Original Seadanya Kita.
Kemenangan Emma menerusi kategori utama itu, mengangkat lakonan cemerlangnya dalam siri berkenaan dan menjadi antara pencapaian utama Viu Malaysia pada AACA musim ini.
Tidak cukup dengan itu, Seadanya Kita turut mencatat satu lagi sejarah manis menerusi lagu tema rasminya, Berakhir Kita ciptaan Omar K dan Shazriq Azeman serta dendangan Syamel yang memenangi kategori Lagu Tema atau Judul Tema Terbaik.
Seadanya Kita menggabungkan elemen seram supernatural, thriller dan cerita rakyat Melayu menerusi kisah dendam, selain menyelami sisi gelap sebuah keluarga dan pengkhianatan.
Manakala satu lagi naskhah daripada Viu Original, Kelas Belakang turut menyerlah apabila pelakonnya, Farihin Arnia membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Sementara itu, drama Kelas Belakang pula mencipta detik manis berganda apabila pengarahnya, Nurhanisham Muhammad memenangi Arahan Terbaik (Scripted), selain Farihin dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik.
Satu lagi kemenangan hadir menerusi Viu Micro Drama Cinta Ori terbitan bersama Creative Stew dan Mi Sedaap Malaysia yang memenangi kategori Best Micro-Drama.
Pencapaian tersebut memperlihatkan kepelbagaian karya Viu Malaysia merangkumi lakonan, pengarahan, muzik serta format penceritaan pendek yang semakin mendapat tempat dalam landskap kandungan digital.
Malah, Cinta Ori turut menampilkan pendekatan penceritaan vertikal 9:16, format yang semakin berkembang dan membuka ruang baharu kepada penghasilan drama mikro untuk tontonan digital.
Kelima-lima kemenangan itu menyaksikan Viu Original Seadanya Kita, Kelas Belakang dan Cinta Ori sebagai wakil Malaysia ke peringkat seterusnya AACA.
Pemenang peringkat kebangsaan dari 18 negara dan wilayah dalam 39 kategori akan bersaing pada AACA Grand Awards yang dijadual berlangsung di Singapura pada Disember depan.
AACA mengumumkan senarai National Winners 2026 pada 30 September lalu, sekali gus membuka laluan kepada karya dan bakat kreatif dari Malaysia untuk bersaing dengan wakil lain dari seluruh rantau Asia-Pasifik. – HIBGLAM

