AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq menganggap dirinya dan bakal isteri, Bella Astillah tidak layak untuk disamakan dengan pasangan negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Mengulas mengenai pandangan segelintir pihak yang menyamakan kisah cinta mereka seperti pasangan itu, Syed Saddiq atau nama lengkapnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, menegaskan bahawa perbandingan itu terlalu jauh untuk dibuat.
“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan Allahyarhamah dan juga Tun Mahathir. Tidak dekat pun, malah tidak sampai satu peratus kerana kalau kita lihat jasa mereka, ia memang luar biasa,” katanya ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq, di sini, hari ini.
Tambahnya, Tun Hasmah ialah tokoh perintis yang wajar dicontohi, terutamanya dalam bidang perubatan dan pendidikan masyarakat luar bandar.
“Tun Hasmah salah seorang doktor wanita terawal yang memberikan inspirasi kepada wanita. Beliau satu-satunya doktor wanita dalam kelompoknya ketika itu di Singapura dan mendapat biasiswa.
“Tun Mahathir lagilah. Saya rasa saya tidak perlu menyenaraikan satu per satu pencapaian dan jasa beliau kepada negara yang sehingga hari ini kita masih menerima manfaatnya.
“Jadi, sejujurnya, bagi mereka yang berkongsikan perkara ini, saya tahu ia datang daripada niat yang baik. Tetapi jawapan kami, kita tidak layak untuk disamakan kerana mereka jauh lebih ke hadapan daripada kami,” katanya.
Saddiq turut merasakan perbandingan dari sudut keutuhan cinta juga masih tidak setara memandangkan usia ikatan perkahwinan yang dibina.
“Saya tahu mungkin ada yang kata, ‘Oh, tetapi bukan daripada sudut sumbangan kepada negara, mungkin daripada sudut cinta.’ Itu pun saya rasa kami tidak layak.
“Kerana kami ini baru nak berkahwin, nak menghalalkan hubungan. Mereka ini sudah 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama. Kami belum sampai pun 25 tahun, baru nak membuka bab atau buku yang pertama.
“Kalau kita ibaratkan seperti sebuah buku, kami baru nak menulis muka surat pertama. Mereka bukan sekadar menulis muka surat pertama, mungkin mereka sudah mempunyai perpustakaan sendiri yang boleh berkongsikan kisah cinta mereka. Bukan satu buku, tetapi sudah beribu-ribu buku,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saddiq turut mengajak orang ramai untuk terus mendoakan kesejahteraan buat roh Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah serta kesihatan Tun Dr. Mahathir.
“Dengan apa yang berlaku baru-baru ini, saya berharap kita sentiasa berdoa supaya Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di jannah dan terus berdoa supaya Tun Dr Mahathir kembali pulih sepenuhnya.
“Ia bukan satu proses yang mudah untuk beliau dan keluarga. Saya berharap dengan doa kita semua serta semangat yang kita berikan, beliau akan kembali lebih kuat, insya-Allah,” katanya. – HIBGLAM

