SEPULUH tahun dalam dunia muzik bukan tempoh singkat. Bagi Reality Club, perjalanan sedekad mereka bukan sahaja terukir melalui karya merentasi sempadan Indonesia, malah membina hubungan istimewa dengan pendengar di Malaysia.
Justeru, kepulangan kumpulan indie dari Jakarta itu kali ini hadir dengan janji lebih besar apabila mereka mahu membawa peminat menyelami dunia Reality Club secara lebih dekat.
POST dan Katarsis Live mempersembahkan Reality Club – 10 Years of Reality Club di Zepp Kuala Lumpur pada 13 November ini, menerusi persembahan khas satu malam bagi meraikan ulang tahun ke-10 kumpulan berkenaan bersama empat anggota asalnya.
Momentum itu sebenarnya memuncak bermula tahun lalu apabila Reality Club menjayakan persembahan ulang tahun ke-10 di Jakarta pada Jun, sebelum melangkah ke fasa baharu menerusi kontrak bersama Suneater — label muzik Indonesia menaungi beberapa nama penting dalam arena muzik bebas negara berkenaan.
Kini, momentum sama dibawa ke Kuala Lumpur menerusi sebuah persembahan khas dengan susunan katalog lagu mereka diolah semula bagi memberikan pengalaman berbeza kepada peminat.
Menurut vokalis dan pemain papan nada Reality Club, Fathia Izzati, konsert tersebut bakal menyaksikan mereka mempersembahkan lebih 20 lagu daripada empat album dalam tempoh kira-kira dua jam.
“Kami akan mempersembahkan lebih 20 lagu dan saya rasa ini jumlah lagu terbanyak pernah kami bawakan dalam satu persembahan di Malaysia setakat ini.
“Lagu-lagu tersebut dipilih daripada keseluruhan katalog kami, merangkumi empat album,” katanya kepada HibGlam.
Bagi Fathia, pentas Zepp Kuala Lumpur nanti tidak akan dipenuhi persembahan lazim kerana konsep khas sudah dirangka untuk membawa peminat menyelusuri perjalanan muzik mereka sepanjang 10 tahun.
“Ini akan menjadi persembahan sangat istimewa kerana mempunyai konsep tersendiri. Kami mahu peminat merasakan pengalaman berbeza berbanding persembahan biasa.
“Konsepnya seperti kami membawa peminat masuk ke ‘rumah kelab’ Reality Club. Memandangkan ini persembahan kami sendiri, kami mempunyai lebih banyak kebebasan untuk melakukan sesuatu mengikut cita rasa dan idea kami,” jelasnya.
Sementara itu, gitaris dan vokalis, Faiz Novascotia Saripudin berkata, persiapan sudah bermula sejak mereka menjayakan persembahan ulang tahun ke-10 di Jakarta pada Jun lalu, malah idea untuk membawa konsep sama ke Malaysia sudah difikirkan lebih awal.
“Persiapan sebenarnya sudah dilakukan sejak persembahan ulang tahun ke-10 kami di Jakarta. Itu persembahan paling besar pernah kami lakukan, dengan latihan serta perancangan konsep secara terperinci.
“Sebelum persembahan itu berlangsung, kami sudah memikirkan tentang Malaysia dan bagaimana mahu membawa konsep tersebut ke sini. Jadi, sejak Mei lagi kami sudah mula memikirkan serta membuat persiapan untuk persembahan ini,” ujarnya.
Pun begitu kata Faiz, membawa keseluruhan pengalaman dari Jakarta ke Kuala Lumpur bukan tanpa cabaran, terutama membabitkan aspek produksi dan logistik.
Selain Fathia dan Faiz, kumpulan berkenaan turut dianggotai Nugi Wicaksono sebagai pemain bass serta Era Patigo sebagai pemain dram.
Lebih istimewa, persembahan tersebut dirangka sebagai penghargaan buat peminat setia mengikuti perjalanan Reality Club sejak awal kemunculan sehingga kini.
Katalog mereka akan disusun semula bagi menghidupkan kembali karya lama, selain memberi ruang kepada material lebih baharu daripada empat album.
Sepanjang sedekad berkarya, Reality Club membentuk cita rasa generasi pendengar muzik Asia Tenggara menerusi himpunan karya seperti Is It The Answer? dan Alexandra.
Perjalanan tersebut terus berkembang menerusi album studio ketiga, Reality Club Presents…, apabila kumpulan itu berani meneroka lebih banyak warna muzik, selain memberikan karakter dan naratif tersendiri kepada setiap karya.
Album berkenaan turut mengukuhkan kedudukan Reality Club apabila memenangi kategori Best Alternative Album pada Anugerah Musik Indonesia, manakala lagu Love Epiphany membawa pulang trofi Best Alternative Duo/Group/Collaboration.
Tidak berhenti di situ, album keempat, Who Knows Where Life Will Take You?, memperlihatkan kematangan penulisan lagu kumpulan terbabit, sekali gus menerima pujian sebagai antara karya mereka paling yakin dan menyentuh emosi.

