SUSAH cari wanita seperti dia.”
Demikian respons Shuib apabila ada segelintir individu mendakwa dia tidak menjaga hati isteri, Watie Hanifiah apabila kerap berkongsi cerita mengenai Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
Menangkis tanggapan itu, Shuib berkata dia bertuah dikurniakan Watie sebagai teman hidup yang sangat memahami situasinya sehingga memberikan lampu hijau untuk memuat naik sebarang hantaran mengenai isteri pertamanya itu.
Pada awal perhubungan saya ada bertanyakan kepadanya tetapi dia pula cakap, kenapa perlu tanya? Kongsi sahaja sebab dia pun tak kisah.
“Inilah antara sebab saya pilih Watie. Orang lain mungkin tak nampak, tapi saya dah lihat perkara ini sejak awal lagi dan saya sifatkan Watie ditakdirkan untuk saya,” katanya kepada HibGlam.
Menurut pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu, kesedihan kehilangan insan tersayang kini diganti dengan kehadiran suri yang serba memahami.
Malah, pemilik nama lengkap Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah itu juga pernah menemaninya menziarahi kubur arwah Siti Sarah.
“Saya akan menziarahi kubur arwah beberapa kali dalam seminggu kerana sangat dekat dengan pejabat Suria FM.
“Saya telah melalui saat yang sangat menyedihkan tapi Allah gantikan dengan seseorang yang sangat okay dan terima keadaan saya.
Watie pernah cakap, dia hadir dalam hidup saya untuk hilangkan kesedihan. Jadi, apabila dah kahwin dia tak mahu jadi beban.
“Dia pun ada ikut ke kubur tapi saya tak tunjuk. Sebenarnya kalau dah lama saya tak cakap fasal Siti Sarah, dia pula yang pelik,” kongsi penyampai radio itu lagi.
Terdahulu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah yang juga penyanyi pada 2011, namun Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021.
Perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, dua tahun.
Shuib kemudian mengahwini ahli perniagaan berusia 35 tahun itu pada 23 Jun lalu selepas lebih sebulan bertunang. – HIBGLAM