PILIH pasangan sekufu, pelakon Puteri Sarah menyifatkan keserasian dari aspek ilmu, pemikiran dan cara melihat kehidupan merupakan antara asas penting dalam membina rumah tangga.
Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 40, berkata kemanisan rumah tangga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali memberi inspirasi serta contoh pasangan yang sepadan.
“Orang selalu bercakap tentang mencari pasangan yang boleh membahagiakan kita tetapi bagi saya, ada satu perkara sama penting iaitu mencari pasangan sekufu terutama dari segi ilmu, pemikiran dan cara melihat kehidupan.
“Tun Dr. Siti Hasmah pula bukan sekadar isteri kepada seorang pemimpin.
“Beliau sendiri seorang doktor, wanita Melayu tunggal dalam kelompoknya ketika belajar perubatan dan kemudian menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri,” katanya dalam hantaran di Threads.
Bagi pelakon drama Sabarlah Duhai Hati itu, kekuatan sesebuah perkahwinan tidak hanya bergantung kepada perasaan cinta, bahkan terbina apabila pasangan mampu menjadi teman berbicara.
Jelasnya, sekufu juga tidak bermaksud perlu memiliki sijil akademik, kerjaya atau pencapaian serupa, namun turut bersedia berkembang dari sudut intelektual, emosi dan spiritual.
“Cantiknya sebuah perkahwinan bukan hanya dua orang saling mencintai, tetapi apabila mereka boleh berbicara pada tahap pemikiran sama, menghormati ilmu masing-masing, bertukar pandangan.
“Carilah pasangan yang bukan hanya mahu hidup bersama kita, tetapi seseorang yang boleh berkembang bersama kita dari segi intelektual, emosi dan spiritual,” ujarnya.
Puteri Sarah berkata, kemampuan menghormati pemikiran pasangan juga merupakan satu bentuk kebahagiaan yang tidak kurang penting dalam sesebuah hubungan.
“Kerana cinta itu penting, tetapi mempunyai pasangan yang kita boleh hormati pemikirannya adalah satu bentuk kebahagiaan yang berbeza,” katanya.
Terdahulu, seluruh negara berduka dengan pemergian Tun Dr. Siti Hasmah yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun, pagi Isnin lalu.
Kisah cinta dengan suami selepas bertemu ketika menuntut di King Edward VII College of Medicine, Singapura sebelum mendirikan rumah tangga pada 1956 dan melayari perkahwinan selama 70 tahun menjadi inspirasi ramai. – HIBGLAM

