‘Biarlah mereka, telinga masing-masing berbeza’ 

HAMPIR tiga dekad berlalu, namun gema Cinta Di Akhir Garisan masih belum terpadam daripada ingatan pencinta muzik tempatan. 

Lagu yang pernah menghimpunkan empat vokal hebat iaitu Datuk Ziana Zain, Datuk Nora Ariffin, Ning Baizura dan Dessy Fitri itu seakan-akan memiliki hayat tersendiri sekali gus terus berputar dari satu generasi ke satu generasi.

Kini, karya berkenaan kembali membuka lembaran baharu menerusi Cinta Di Akhir Garisan 2.0 (CDAG 2.0), namun kali ini pentasnya diserahkan kepada empat penyanyi daripada generasi semasa, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Aisha Retno dan Nadeera Zaini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tanggungjawab tersebut bukan kecil. Apatah lagi, setiap lenggok vokal versi asal sudah sebati dalam telinga pendengar sejak lagu berkenaan diperkenalkan pada 1997. 

Justeru, apabila empat penyanyi terbabit menghidupkan semula karya berkenaan, perbandingan dengan barisan legenda terdahulu hampir tidak dapat dielakkan.

Sejak dilancarkan pada 28 Ogos lalu, CDAG 2.0 menerima pelbagai reaksi daripada pendengar, termasuk pandangan mengenai kemampuan empat penyanyi terbabit dalam menggalas semula lagu berkenaan.

Bagi Marsha, Aisha, Adira dan Nadeera, projek itu tidak pernah hadir sebagai gelanggang untuk menentukan siapa lebih hebat malah memilih untuk menghormati karya asal sambil memberikan nafas, warna dan jiwa tersendiri menerusi susunan muzik baharu.

AISHA (dari kiri), Adira, Nadeera dan Marsha berpadu emosi dan suara menerusi versi baharu Cinta Di Akhir Garisan yang kini mula menjadi siulan peminat.

Cita rasa masing-masing

Menurut Marsha, setiap pendengar mempunyai cita rasa dan sudut pandang berbeza terhadap sesebuah karya, justeru reaksi terhadap CDAG 2.0 tidak wajar dilihat daripada satu sisi sahaja.

“Pada mulanya memang cuak juga. Saya tahu ramai memberikan pendapat masing-masing hingga saya terfikir, adakah kami ada melakukan kesalahan.

Namun, apabila saya dengar semula, sebenarnya perkara itu bergantung kepada pilihan masing-masing kerana pendapat setiap individu sangat subjektif,” katanya kepada HibGlam. 

Tambahnya, cabaran sebenar terletak pada usaha mengekalkan DNA setiap penyanyi agar identiti mereka masih dapat dikenali biarpun lagu itu hadir dalam acuan baharu.

“Semua bahagian ada kesusahan dan cabaran tersendiri. Kalau kita lihat struktur pemilihan solo, semuanya memang berbeza dengan versi asal. Ajai sudah susun supaya semua mendapat bahagian sama rata.

“Dari segi vokal pula, semuanya lebih kurang sama, jadi tidak ada masalah sangat. Cabaran bagi saya adalah memastikan DNA kami masih kukuh dan pendengar masih dapat mengenal bunyi serta identiti masing-masing. Kami semua ada identiti tersendiri,” kongsinya.

Sementara itu, Aisha berkata, tanggungjawab mereka hanyalah memastikan lagu berkenaan disampaikan sebaik mungkin, manakala penerimaan pendengar berada di luar kawalan mereka.

“Kami tahu pasti ada yang suka dan ada yang tidak suka, mereka memang berhak memberikan pendapat. Malah, kami sebenarnya sudah dapat menjangkakan perkara ini akan berlaku.

Kerja kami hanyalah menyanyikan lagu ini semula dengan sebaik-baiknya. Saya pasti, di sebalik kata-kata agak kesat itu, sebenarnya ada niat baik. Maksudnya, mereka masih mengambil berat mengenai rakaman baharu ini,” tegasnya.

Bagi Aisha, kewujudan CDAG 2.0 juga membuka ruang untuk memperkenalkan karya berkenaan kepada kelompok pendengar lebih muda, termasuk mereka yang mungkin tidak membesar bersama versi asal.

Dalam masa sama, dia melihat kedua-dua versi mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak perlu diletakkan dalam satu gelanggang pertandingan.

LAGU Cinta di Akhir Garisan 2.0 kini boleh didengari di semua platform penstriman termasuk Apple Music, Spotify dan iTunes.

Bukan bertanding

Bagi Adira pula, dia percaya perbezaan karakter vokal membolehkan CDAG 2.0 tampil dengan warna tersendiri tanpa menafikan kekuatan versi terdahulu.

Jelasnya, pendengar perlu melihat CDAG 2.0 sebagai sebuah karya baharu tanpa menjadikannya pertandingan dengan empat penyanyi terdahulu.

“Saya fikir tidak menjadi masalah kerana kami sudah ada identiti masing-masing. Kami tahu melodinya, kemudian kami olah mengikut cara sendiri dengan bantuan Ajai.

Kami enggan bertanding dengan yang lama. Mereka penyanyi asal, identiti mereka sudah ada dan mereka juga sudah berada pada tahap tersendiri.

“Kami pula wajah baharu. Kami tidak mahu bertanding dan tidak mahu dibandingkan pun. Kami sudah menyanyikan lagu ini dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan kami,” tambahnya.

Nadeera pula berpendapat ketahanan mental amat penting terutama apabila membawakan karya pernah menjadi milik suara besar industri.

Ujarnya, setiap pendengar mempunyai tafsiran sendiri terhadap sesebuah persembahan dan sebagai penyanyi, dia perlu menghormati hak tersebut.

“Sudah tentu orang akan membandingkan, lebih-lebih lagi apabila kita menyanyikan semula lagu yang sudah mempunyai penanda aras hebat. Kita kena bersedia dari segi mental, fizikal dan sebagainya. Bagi saya, tidak ada masalah.

“Telinga masing-masing berbeza. Mereka ada pendapat masing-masing. Jadi, biarlah mereka bercakap apa yang mereka mahu. Apabila mereka bercakap mengenai kita, sebenarnya mereka mengambil berat,” tuturnya.

Keistimewaan CDAG 2.0 turut terletak pada skala produksi apabila susunan muzik digarap Ajai bersama Mac Chew, manakala orkestrasi dikendalikan Mac Chew dengan penglibatan 53 pemuzik Budapest Scoring Orchestra.

Rakaman turut menampilkan Ujang menerusi dram, Gideon Yogan pada gitar bes, Shah Slam mengisi gitar dan Mac Chew bermain piano.

Dari sudut produksi pula, Usanita Entertainment mahu CDAG 2.0 berdiri dengan nilai tersendiri menerusi pendekatan muzik dan visual lebih segar, bukan hanya bergantung kepada nostalgia karya asal.

Atas dasar itu, aspek produksi diberikan perhatian menyeluruh bagi memastikan versi baharu tersebut memiliki mutu tersendiri serta mampu berdiri sebagai karya malar segar.

Video muzik rasmi CDAG 2.0 turut digarap pada skala besar menerusi pengarahan Lily Samsuddin dan Ghazi Mazlan, dengan Istana Budaya bertindak sebagai rakan strategik lokasi.

Rakaman dilakukan di Wake The Baby Studio sebelum melalui proses adunan oleh Greg Henderson dan proses pemasteran oleh Don Bartley di Benchmark Studio, Australia.

Lagu serta video lirik CDAG 2.0 dilancarkan pada 28 Ogos 2026 menerusi edaran Believe Music, manakala pelancaran rasmi video muzik menjadi pelengkap kepada kemunculan semula karya berkenaan dalam wajah baharu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok