Kena strok haba, Ropie ‘tumbang’

PELAWAK Ropie dilaporkan rebah secara tiba-tiba akibat strok haba ketika menjalani penggambaran sebuah program masakan sebagai artis undangan di Shah Alam semalam.

Perkara tersebut dikongsi pelakon Zalif Sidek yang memaklumkan insiden itu berpunca daripada cuaca panas dan jerebu ketika ini.

“Sesuatu yang tak disangka. Ketika menjalani penggambaran di luar, tiba-tiba sahabat kita, Ropie jatuh dan pengsan.

“Dipercayai akibat strok haba dan cuaca jerebu sekarang.

“Dalam sekelip mata, suasana penggambaran yang tenang bertukar menjadi cemas. Kita hanya mampu berdoa agar Ropie diberi kesihatan dan dipermudah segala urusan,” katanya.

Tambah Zalif, rawatan kecemasan diberikan kepada Ropie oleh petugas kesihatan yang berada di set penggambaran tersebut.

“Isteri dia beritahu Ropie sudah okey dan boleh makan.

“Selepas itu dia dibawa pulang dan perlu rehat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia sempat berpesan agar setiap individu termasuk anak seni sentiasa peka dengan kesihatan sendiri dan tidak perlu bekerja sekiranya kesihatan tidak mengizinkan.

“Kadang-kadang bila terlalu fokus pada kerja sehingga terlupa keadaan tubuh sendiri. Cuaca panas bukan perkara kecil.

“Jaga diri, cukupkan air dan jangan paksa badan bila sudah mula rasa tidak sihat.

Semoga abang Ropies sentiasa Dilindungi Allah, diberikan kesembuhan dan dipermudah semuanya, amin,” ujarnya

Dalam perkongsian sama, Zalif turut memuat naik foto memaparkan situasi ketika bekas ahli kumpulan Cecupak itu diserang strok haba. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok