“SAYA sudah lama tinggalkan dunia seni”.
Itu respons pelakon Zahida Rafik saat ditanya tentang kerjaya seninya yang satu ketika dahulu pernah rancak dengan filem-filem popular seperti Senario The Movie, Anak Mami The Movie dan Mami Jarum.
Menurut Zahida atau nama lengkapnya Zahida Mohamed Rafik, 51, dia kini lebih selesa menumpukan perhatian untuk menjaga ibu dan bapanya yang sudah uzur.
“Rindu untuk berlakon itu memang ada. Tetapi saya dah tak sanggup nak duduk menunggu lama-lama di set penggambaran.
“Saya ada banyak komitmen. Pening otak saya nanti nak susun jadual. Lagipun saya menjaga kedua ibu dan bapa saya. Ibu saya sudah berusia lebih 80 tahun. Bapa saya pula 90 tahun. Mereka perlukan perhatian yang lebih ketika ini.
“Walaupun saya ada pembantu, tetapi sebagai anak, ibu dan bapa perlukan perhatian daripada anak-anak. Mereka adalah komitmen tersebar saya ketika ini,” katanya ketika ditemui di majlis Tahlil buat Allahyarhamah Tun Hasmah anjuran Umie Aida, di sini, kelmarin.
Ditanya, adakah tawaran lakonan yang hadir, kata Zahida dia ada mendapat beberapa tawaran, namun terpaksa ditolak dan ada yang tidak menjadi.
“Dahulu ada banyak tawaran. Tapi sejak akhir-akhir ini dah tak ada. Mungkin ramai yang sudah ‘give up’ sebab saya asyik janji nanti nanti, tetapi akhirnya tak jadi. Sudahlah kau.
“Sahabat saya, Erma Fatima sendiri sudah serik nak panggil saya berlakon. Sengkuang kau memang takkan datang. Katanya. Mula-mula saya rasa teruja juga untuk berlakon, tetapi lepas tu tak jadi,” kongsinya.
Tambahnya lagi, biarpun kini sudah tidak lagi lagi aktif sebagai pelakon, namun dia masih aktif bertemu rakan-rakan selebriti dan menyokong industri hiburan tempatan.
“Saya masih berjumpa dengan rakan-rakan saya. Mereka masih berada bersama saya. Kalau ada masa saya akan pergi majlis-majlis hiburan,” ujarnya. – HIBGLAM

