Faith4Palestine lambang prihatin rakyat Malaysia – Faizal Tahir

TIDAK sanggup melihat penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin, penyanyi Faizal Tahir melalui gerakan kemanusiaan iamFaithmen dan kerjasama syarikat rakaman, Faithful Music menganjurkan majlis Faith4Palestine.

Bakal berlangsung di Royale Chulan, Damansara pada12 November ini, Faith4Palastine bertujuan mengumpul dana bantuan kemanusiaan untuk mangsa perang di negara itu selain menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap isu tersebut.

“Ini bukanlah acara hiburan semata-mata. Selain persembahan akustik, kami mengadakan sesi perbincangan terbuka (podcast) bersama pengasas Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri dan bidaan barang peribadi saya.

“Faith4Palestine adalah usaha membantu saudara kita di Gaza. Sesungguhnya mereka kini sangat memerlukan bantuan dan perhatian. Ini lambang prihatin kita buat mereka.

“Muzik adalah satu elemen yang penting dalam menyampaikan mesej. Saya sentiasa pastikan setiap lagu membawa maksud positif dan memberi sesuatu kepada komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain mengumpul dana, Faith4Palestine turut bertujuan mendidik masyarakat tentang sejarah panjang bumi Palestin serta memberi bimbingan tentang bagaimana orang ramai boleh membantu dalam tindakan secara kolektif.

Menurut Faizal, tiket acara berdurasi dua jam itu dijual pada harga pada harga RM99 dan semua keuntungan akan disalurkan terus kepada tabung bantuan Palestin melalui rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia.

Mereka yang berminat boleh layari www.ticket2u.com.my . – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok