PENYANYI Datuk Sheila Majid mengingatkan penggiat seni supaya tidak terjebak dalam budaya membandingkan kemampuan vokal antara satu sama lain, sebaliknya tampil yakin dengan identiti serta keunikan suara masing-masing.
Ujar Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 60, setiap penyanyi memiliki kekuatan tersendiri, justeru tiada keperluan untuk meniru gaya atau cuba menjadi seperti penyanyi lain semata-mata mahu mendapatkan pengiktirafan.
“Setiap penyanyi mempunyai kekuatan tersendiri dan setiap suara pula memiliki keunikan masing-masing.
Jangan membandingkan atau meniru orang lain. Sebaliknya, yakin dengan diri sendiri dan tonjolkan identiti suara masing-masing.
“Menyanyi bukan satu pertandingan,” tulisnya dalam Threads.
Perkongsian ringkas pelantun lagu Sinaran itu terus mencuri perhatian netizen lebih-lebih lagi hantaran tersebut dibuat ketika Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) sedang berlangsung malam tadi.
Meskipun Sheila tidak mengaitkan kenyataan tersebut dengan mana-mana pertandingan atau penyanyi tertentu, hantaran tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengikut media sosial.
Malam tadi, AIM25 turut menyaksikan kebangkitan luar biasa Mimifly apabila muncul sebagai antara penerima trofi terbanyak dengan membawa pulang lima anugerah.
Pentas berprestij edisi Jubli Perak itu turut menyaksikan Datuk Seri Siti Nurhaliza membawa pulang empat trofi termasuk Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma.
Penyanyi muda Aisha Retno pula melakar detik manis apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah utama, Album Terbaik menerusi album sulungnya, Re.Hab. – HIBGLAM

