PENYANYI popular Amerika Syarikat, Pink menegaskan pendiriannya mengenai Israel, Hamas dan Palestin tidak seharusnya dihakimi berdasarkan hantaran semula atau kandungan media sosial dikongsikannya.
Ujar Pink atau nama sebenarnya Alecia Beth Moore, 47, dia memilih untuk bersuara selepas berasakan ramai pihak membuat kesimpulan mengenai pendiriannya hanya berdasarkan identiti sebagai wanita berketurunan Yahudi.
“Minggu lalu, saya berkongsi semula hantaran mengenai persembahan Macklemore di konsert Ed Sheeran. Hantaran itu mengandungi kata-kata bukan daripada saya dan sebahagiannya juga tidak akan saya pilih sendiri.
“Apabila komen mula datang, saya bertindak seperti biasa apabila terluka, iaitu berkongsi ‘meme’ sinis dan berpura-pura semuanya baik. Itu kesilapan saya. Perkongsian semula bukan kenyataan peribadi dan meme juga bukan pendirian,” katanya dalam Instagram.
Tambah pelantun Just Give Me a Reason itu, dia tidak pernah menyembunyikan latar belakang sebagai seorang Yahudi, namun enggan identiti berkenaan dijadikan alasan untuk orang ramai menentukan pendirian politik atau pandangannya terhadap konflik berkenaan.
“Saya tidak mewakili Israel atau mana-mana kerajaan. Apa saya katakan pada Oktober 2023 masih sama. Hamas ialah organisasi pengganas, manakala rakyat Palestin berhak memiliki masa depan dengan maruah dan aspirasi mereka dihormati.
Melindungi nyawa orang tidak bersalah mesti menjadi keutamaan dan tiada siapa patut meraikan kematian kanak-kanak, tidak kira anak siapa,” ujarnya.
Pink turut mengingatkan, selama sedekad dirinya berkhidmat sebagai Duta UNICEF dengan fokus kepada kanak-kanak, termasuk mereka yang terperangkap dalam peperangan.
“Saya sudah menghabiskan sedekad sebagai duta UNICEF untuk kanak-kanak. Mereka tidak memilih negara atau peperangan tempat mereka dilahirkan. Saya meratapi kehilangan setiap seorang daripada mereka di kedua-dua belah pihak.
“Saya tidak melakukannya dari belakang skrin. Saya pergi menemui mereka dan memeluk mereka. Saya tidak akan cuba menyelesaikan konflik perang rumit melalui kapsyen Instagram atau mengulang slogan sesiapa semata-mata untuk mendapatkan semula sokongan pengikut,” jelasnya.
Pink mendakwa, persembahan Macklemore pada konsert Sheeran baru-baru ini kembali mencetuskan keresahan dalam dirinya apabila imej berkaitan perang dipaparkan di skrin sebelum rapper itu menyampaikan mesej sokongan kepada gerakan pilihan hatinya.
Dia kemudian berdiri di hadapan sebuah stadium dipenuhi keluarga pencinta muzik, dengan imej keganasan perang dipaparkan pada skrin, sebelum menyampaikan mesej kepada semua orang Yahudi di stadium itu seolah-olah perkara tersebut tidak berkaitan dengan mereka.
“Anda tidak boleh menentukan apa kami patut rasa. Itulah sebab saya berkongsi semula hantaran itu, bukan kerana slogan ‘Free Palestine’ atau kerana saya mahu menghalang sesiapa daripada mengucapkannya,” katanya.
Pink pada masa sama meminta peminat tidak bersetuju dengannya jika mereka mempunyai pandangan berbeza, namun berharap kebimbangan terhadap keselamatan orang Yahudi turut dihormati.
“Anda tidak perlu bersetuju dengan saya. Itu sudah menjadi persetujuan tidak tertulis antara kita selama 25 tahun dan masih kekal begitu.
Anda juga tidak perlu bersetuju dengan setiap tindakan kerajaan Israel untuk tidak mahu keluarga Yahudi dua baris di belakang anda berasa takut atau menjadi sasaran di sebuah konsert. Itulah satu-satunya perkara saya minta,” ujarnya.
Terdahulu, Macklemore tampil sebagai artis pembukaan untuk konsert Sheeran sebelum menyampaikan lagu Hind’s Hall serta menyuarakan sokongan terhadap Palestin.
Macklemore kemudian menerusi Instagram menegaskan, keinginan supaya semua manusia dilayan sama rata tidak sepatutnya menjadi perkara kontroversi.
Pink kemudiannya mencetuskan kontroversi apabila berkongsi semula hantaran akaun @Stop_AntiSemitism yang mengkritik kenyataan Macklemore serta menggesa penyanyi itu dikeluarkan daripada siri jelajah Sheeran.
Perkongsian Pink turut mengundang kecaman hebat di media sosial sebelum penyanyi berkenaan meneruskan penjelasan menerusi beberapa meme dan petikan, sehingga akhirnya mengambil keputusan untuk menyuarakan pendiriannya sendiri. – HIBGLAM
