KETIKA ketidakadilan di Gaza masih menjadi ‘neraka dunia’ buat penduduk di sana, tindakan penganjur dan penyanyi terkemuka Barat, Ed Sheeran menggugurkan Macklemore daripada baki konsert jelajahnya mengundang amarah global.
Tindakan drastik yang diambil pihak penganjur dan pengurusan stadium itu berikutan tindakan berani Macklemore melaungkan slogan ‘Free Palestine’ serta menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin ketika membuat persembahan di New Jersey sememangnya memarakkan api kebencian yang tidak pernah padam.
Kontroversi ini bukan sahaja mendedahkan bagaimana pentas seni global berdepan tekanan politik yang tegang, malah turut mencetuskan boikot dan solidariti dalam kalangan penggiat seni lain yang bertindak menarik diri daripada siri jelajah tersebut.
Bukan sahaja penggiat seni Hollywood, malah selebriti Indonesia juga menggunakan pengaruh besar untuk membela nasib insan yang tertindas.
Berikut antara selebriti seberang yang terus teguh dan aktif memperjuangkan nasib Palestin hingga ke hari ini.
Dara Arafah

PEMPENGARUH sosial media, Dara Arafah juga aktif memuat naik hantaran mengenai Palestin dalam akaun Instagramnya.
Wanita berusia 26 tahun itu menggunakan platform Instagram peribadinya secara konsisten untuk memuat naik maklumat, berita terkini, serta kempen kesedaran mengenai penderitaan dan nasib rakyat di sana agar isu tersebut terus mendapat perhatian pengikutnya.
Dia sempat menghasilkan kandungan video menunggang kuda sambil memanah sambil membawa bendera Palestin.
Kandungan simbolik berunsur sunnah dan patriotik itu mendapat pujian meluas serta dibanjiri sokongan daripada rakan-rakan artis dan netizen.
Di samping itu, pelakon filem Agen +62 itu turut membuka saluran kutipan derma untuk membantu meringankan beban mangsa di Palestin.
Zaskia Sungkar

SELEBRITI dan pereka fesyen, Zaskia Sungkar turut menyuarakan solidariti ketika menghadiri acara Jakarta Muslim Fashion Week.
Penampilan isteri kepada pelakon Irwansyah itu mencuri tumpuan ramai apabila mengenakan selendang yang menampilkan corak masjid berserta warna merah dan hijau yang melambangkan bendera Palestin.
Sebagai seorang pereka fesyen tersohor dan usahawan berjaya, pelakon filem Roh Fisik itu sering menggunakan platform media sosial miliknya untuk menyebarkan kesedaran, berkongsi maklumat, serta mengajak pengikutnya terus mendoakan keselamatan rakyat Palestin.
Teuku Wisnu

SEBAGAI tanda sokongan padu terhadap Palestin, pelakon Teuku Wisnu bersama The Sungkars (keluarga) sering menggunakan pengaruh mereka untuk menganjurkan kutipan dana khas bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas di Gaza.
Menerusi usaha tersebut, dana berjumlah besar pernah berjaya dikumpulkan dan disalurkan terus dalam bentuk bantuan kemanusiaan.
Kutipan dana yang digerakkan itu tidak hanya tinggal di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan kepada bentuk bantuan fizikal yang mendesak, termasuklah pengagihan ribuan pek makanan siap masak kepada pelarian dan mangsa konflik di Gaza yang kelaparan.
Dia menggunakan akaun Instagram dan saluran digitalnya secara konsisten untuk menyebarkan maklumat sahih, membangkitkan kesedaran umum tentang penderitaan rakyat Palestin, serta mengajak orang ramai agar tidak putus asa mendoakan kesejahteraan di sana.
Selain bantuan kewangan, suami kepada pelakon Shireen Sungkar itu juga teguh mendidik pengikutnya agar mengambil pendirian tegas dalam memboikot produk-produk yang menyokong rejim Zionis, selari dengan usaha solidariti global.
Zaskia Adya

ANTARA selebriti yang tidak henti-henti menyatakan sokongan terhadap Palestin ialah Zaskia Adya Mecca.
Selain terus berkongsi hantaran mengenai Palestin dalam Instagram peribadinya, isteri kepada pengarah Hanung Bramantyo itu turut turun ke jalan raya untuk menyuarakan solidariti, malah pernah pergi secara bersendirian demi menyertai perhimpunan tersebut.
“Pagi, sendirian menuju Monas berkumpul sebagai salah satu aksi nyata selain terus bersuara dalam sosial media.
“Apa pun yang boleh dilakukan untuk Palestin, akan saya kerjakan,” tulisnya dalam Instagram.
Syifa Hadju

SYIFA Hadju merupakan antara selebriti muda yang paling lantang, konsisten dan berani menyatakan sokongan padu terhadap rakyat Palestin.
Pemilik nama lengkap Syifa Safira Nuraisah juga tidak ketinggalan menyertai demonstrasi jalanan bersama rakan-rakan seperjuangan.
Selain itu, menerusi satu sesi siaran langsung (live), dia secara tegas membatalkan kerjasama dengan jenama yang didakwa pro-Israel demi berpegang teguh pada prinsip menyokong Palestin. – HIBGLAM

