PERNAH dianggap terlalu tua dan tidak lagi relevan, penyanyi dan komposer Mimifly menyifatkan kejayaan menggondol lima trofi pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) sebagai kemanisan terbesar selepas 18 tahun berjuang dalam industri muzik.
Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, berkata, perjalanan seninya bukan mudah apabila berdepan pelbagai cabaran termasuk hasil karya dipandang sepi selain keupayaannya untuk terus bertahan pernah dipersoalkan.
Bagaimanapun, segala pengalaman pahit tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya atas dasar kecintaan terhadap muzik.
“Saya sangat bersyukur, namun pencapaian atau kegagalan tidak akan membuatkan saya berhenti berkarya kerana saya terus berada dalam bidang ini memang kerana mahu berkarya.
“Saya tidak kisah sama ada menang atau tidak kerana masih banyak karya yang mahu saya hasilkan. Tetapi, saya sangat bersyukur kerana Anugerah Industri Muzik mengiktiraf saya dan hasil kerja ini,” katanya pada sidang media AIM25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Mengimbas perjalanan selama 18 tahun dalam industri, Mimifly berkata, kehidupannya berubah secara mendadak selepas membuat kemunculan semula pada penghujung 2024 menerusi lagu Angkat.
Katanya, kebangkitan tersebut cukup bermakna selepas melalui tempoh empat tahun tanpa menghasilkan karya sehingga menyebabkan dirinya berasa seperti kehilangan identiti.
“Perubahan ini sangat mendadak kalau tanya saya. Tahun ini adalah tahun ke-18 saya dalam industri.
“Saya buat kemunculan semula pada penghujung 2024 selepas empat tahun tidak berkarya langsung dan saya sangat-sangat sengsara sepanjang tempoh itu.
“Saya hilang diri apabila tidak berkarya. Jadi, apabila saya kembali dengan lagu Angkat dan lagu itu memenangi AIM24, saya cuma rasa sangat berterima kasih kerana inilah jalan yang saya pilih,” ujarnya.
Tambahnya, kejayaan pada AIM25 juga cukup istimewa kerana diraih sebagai artis bebas tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.
“Seperti yang semua tahu, saya artis ‘independent’ dan bukan di bawah label. Saya adalah pasukan saya sendiri.
“Pasukan saya tidak besar, tetapi mereka sangat percaya dan mahu melihat saya menang.
“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai pasukan yang kukuh. Saya juga mempunyai keluarga yang sangat menyokong terutama mama yang tidak pernah berhenti mendoakan saya.
“Saya rasa sebab itulah saya dapat memegang anugerah ini hari ini,” katanya.
Dalam masa sama, Mimifly tidak menafikan pernah berdepan detik sukar apabila hasil karyanya tidak mendapat perhatian selain menerima tanggapan bahawa zaman kegemilangannya sudah berakhir.
“Sudah terlalu banyak kali saya menghasilkan sesuatu yang tidak menjadi. Terlalu banyak tahun apabila saya buat sesuatu, orang tidak percaya.
“Ada yang kata saya sudah terlalu tua untuk kembali dalam industri, malah zaman kemuncak saya sudah berakhir.
“Itu yang selalu saya dengar, bahawa saya sudah tidak relevan. Saya juga tidak dapat menghasilkan atau mengembangkan lagu kerana tiada pihak yang mahu membantu membawa karya saya keluar,” katanya.
Enggan tunduk dengan pandangan sedemikian, Mimifly akhirnya memilih menggerakkan sendiri kerjayanya sehingga berjaya membuktikan bahawa kegagalan bukan noktah kepada perjalanan seseorang anak seni.
“Akhirnya saya buat sendiri dan Tuhan memberikan kemanisan kepada saya dengan peluang untuk berjaya.
“Ia membolehkan orang melihat bahawa kalau kita tidak berputus asa, insya-Allah akan ada jalannya.
“Saya sangat-sangat bersyukur kerana tidak berputus asa. Saya ada sistem sokongan yang baik dan sangat percaya kepada doa mama kerana dia melihat bagaimana saya bekerja keras.
“Saya rasa berkat doa mama itulah yang membuatkan saya berada di sini sekarang,” katanya.
Pada AIM25, Mimifly muncul artis paling banyak meraih kemenangan apabila membawa pulang lima trofi menerusi karya Nara, Serumpun dan Temberang.
Lima trofi tersebut ialah Susunan Muzik Terbaik Dalam Sebuah Lagu menerusi Nara, Lagu Perayaan Terbaik dan Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak Di TikTok menerusi Serumpun serta Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi Temberang. – HIBGLAM

