‘Saya mahu jadi seperti Erma Fatima, bantu anak muda’

BENARLAH pengalaman adalah guru terbaik. Situasi itu yang mula dirasai pelakon Nadia Brian kini selepas hampir sedekad bergelar anak seni. Seperti ada kematangan sedang menjalar dalam dirinya dan dari situ, dia berasakan tiba masa untuk kembali memberi kepada industri dan khalayak.

Mahu mengorak langkah lebih jauh tidak sekadar menungu tawaran lakonan, pemilik nama lengkap Nadia Najwa Mohamed Rashidi kini dalam proses akhir mendapatkan lesen rasmi daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) demi melestarikan cita-cita menggerakkan syarikat produksinya, NB Production.

Katanya, rasa tanggungjawab untuk mengangkat bakat-bakat baharu dalam kalangan generasi muda menjadi pendorong untuk membina produksi sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang saya tengah mohon nak dapatkan lesen dari Finas, saya nak buat produksi sendiri.

“Saya buat pun sebab nak membantu. Takkan selama-lamanya saya nak berlakon.

Kenapa tidak saya dapatkan lesen ini, ada syarikat produksi sendiri dan pada masa sama dapat membantu anak-anak muda juga,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya, pengalaman menghidupkan kembali nama NB Production, jenama teater yang pernah diusahakannya semasa zaman pengajian dahulu memberikannya suntikan semangat untuk membina legasi dengan cara yang lebih tersusun.

“Insya-Allah dulu saya pernah buat teater menggunakan nama NB Production, masa jadi pelajar dahulu.

“Hampir 10 tahun dalam lakonan, apa kata saya melangkah memberi peluang ataupun berkongsi rezeki dengan orang lain pula.

Saya nak angkat budak-budak yang betul-betul nak jadi anak seni sebab sebenarnya sangat ramai yang berbakat besar.

“Kalau boleh saya mahu jadi seperti Erma Fatima,” ujarnya lagi.

Sebagai permulaan kepada usaha murni tersebut, wanita berusia 35 tahun itu dijadualkan tampil sebagai moderator dalam sebuah program belia kelolaan Finas yang khusus membincangkan teknik dan seni lakonan di hadapan kamera.

Saya pun masih dalam proses belajar. Saya fikir benda bagus, ini peluang untuk saya berbakti kepada masyarakat.

“Jadi nanti hujung bulan ini saya sertai program belia Finas, saya bertindak sebagai moderator untuk bercakap mengenai lakonan depan kamera.

“Saya sangat berterima kasih kepada pihak Finas sebab beri peluang.

Saya rasa ini masanya untuk saya kongsi juga pengalaman saya walaupun tidaklah seberapa,” ulasnya.

Mahir memasak

Selain sibuk menguruskan proses membuka rumah produksi, Nadia juga bakal tampil dalam sebuah program realiti, Karok Dapur.

Ramai yang tidak tahu, pelakon drama Akulah Balqis itu seorang yang gemar memasak dan sering meluangkan masa untuk menyediakan juadah buat keluarganya.

“Keluarga saya memang suka memasak. Cuma sekarang sibuk dan tak sempat buat konten.

Tapi memang masak dekat rumah cuma tidaklah selalu, sebab sibuk penggambaran.

“Kadang-kadang adik-beradik semua nak berkumpul di rumah, masak ‘simple’ saja untuk makan tengah hari seperti sayur, sup atau tom yam,” jelasnya.

Nadia turut meluahkan rasa teruja dan memuji usaha stesen penyiaran TV3 kerana terus konsisten menerbitkan program berunsurkan kekeluargaan yang dekat di hati penonton.

Kadang-kadang orang ingat saya ini tak pandai masak, tahu cantik-cantik saja.

“Sambil-sambil tengok masak, kita dapat ilmu juga. Karok Dapur sangat mendekatkan kita menonton rancangan ini,” ujarnya.

Nadia bakal berentap dengan tujuh peserta lain iaitu Sufian Suhaimi, Ryan Bakery, Ara Johari, Joey Daud, Syamel, Zulin Aziz dan Sarah Suhairi yang ditayangkan bermula 27 September. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok