Saya tak kejar gelaran Datuk, fokus kerja – Faizal Tahir

DISEBUT-SEBUT sebagai anak seni yang layak diberi gelaran Datuk atas sumbangannya menghasilkan lagu-lagu patriotik, penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir mengakui tidak pernah terfikir sejauh itu.

Menurut Faizal atau Nama lengkapnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 48, sepanjang lebih dua dekad menjadi anak seni, dia tidak pernah terfikir untuk berkarya demi mengejar pengiktirafan.

“Saya tidak buat kerja untuk mengharapkan pengiktirafan atau anugerah daripada orang sekeliling. Yang penting saya fokus pada kerja saya. Perkara lain saya tak fikir.

Bukanlah nak merendahkan sebarang penganugerahan. Cuma saya rasa tidak perlu. Kalau yang rasa saya layak untuk dapat (gelaran Datuk), Alhamdulillah. Tetapi itu bukan sesuatu yang saya kejar,” katanya ketika ditemui di sidang media memperkenalkan artis jemputan untuk Konsert Faizal Tahir Suara Rakyat di restoran Bendang KL, semalam.

Ditanya adakah dia akan menerima penganugerahan itu sekiranya terpilih satu hari nanti, kata pelantun lagu Mahakarya Cinta itu, dia tidak dapat memberikan komen untuk perkara yang belum terjadi.

“Jika perkara itu sudah betul-betul terjadi nanti baru saya cerita. Buat masa ini saya tak mahu fikir tentang perkara ini. Saya nak fokus kerja sahaja.

Tetapi apa sahaja penganugerahan yang saya terima sebelum dan selepas ini, saya anggap sebagai bonus untuk memberi saya semangat untuk terus berkarya,” jelasnya.

Nama Faizal menjadi viral dalam media sosial selepas dia membuat persembahan sempena Sambutan Hari Merdeka ke-69 yang berlangsung di Dataran Putrajaya baru-baru ini.

Bercerita tentang konsertnya yang akan berlangsung sebulan dari sekarang, Faizal memilih kumpulan nasyid Mirwana sebagai artis jemputan memandangkan dia pernah bersama kumpulan itu sebelum meneruskan kerjaya solo.

“Saya pernah bersama dengan Mirwana satu ketika dahulu. Dan bersama Mirwana lah saya mengenali dan belajar tentang industri müzik tanah air.

Ini merupakan satu penghargaan untuk membawa Mirwana berkongsi pentas bersama saya. Kami pun dah lama tak buat persembahan bersama. Ia pasti menjadi sesuatu yang sangat menarik,” kongsinya.

Ditanya tentang persiapan, kata Faizal dia dan pengarah muzik iaitu Jennifer Thompson melalui banyak kali proses pertukaran lagu untuk mencari yang benar-benar sesuai.

“Rasanya adalah dalam empat kali kita tukar lagu. Terbaru mereka mahu saya masukkan lagu Aku Berjanji memandangkan lagu itu viral sempena sambutan Hari Merdeka.

Ada 30 lagu yang akan dinyanyikan nanti. 30 lagu ini Mestilah menepati durası konsert itu nanti agar tidak terlebih masa. Ada empat segmen semuanya yang merangkumi semua lagu saya termasuklah lagu cinta, kemanusiaan dan patriotik,” katanya.

Konsert Faizal Tahir Suara Rakyat bakal berlangsung 3 Oktober depan bertempat di Unifi Arena Bukit Jalil. Setakat ini sudah 80 peratus tiket terjual dan tiket masih boleh dibeli di laman sesawang HitmanLive. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok