BEKAS wartawan dan pelakon, Fauziah Samad menghembuskan nafas terakhir di kediamannya kira-kira pukul 4 petang tadi, pada usia 71 tahun.
Berita duka pemergian Fauziah disahkan sendiri suaminya, Pazeli Ishak, yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia di rumah selepas mengalami beberapa masalah kesihatan sejak malam tadi.
“Allahyarham meninggal dunia sekitar pukul 4 petang di rumah. Ahli keluarga tidak sempat membawanya ke hospital kerana dia menghembuskan nafas terakhir di kediaman.
“Saya sendiri tidak tahu penyakit apa menjadi punca. Namun, malam tadi dia ada muntah-muntah, muntah berdarah dan mengalami pening kepala selepas bangun tidur.
“Sekarang saya berada di balai polis untuk menguruskan beberapa perkara. Urusan jenazah termasuk lokasi dan waktu pengebumian masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan anaknya menerusi akaun media sosial Fauziah, dengan permohonan agar orang ramai menyedekahkan al-Fatihah serta mendoakan keampunan dan rahmat buat arwah.
“Assalamualaikum. Innalillah wa inna ilaihi rajiun. Mak saya, Fauziah Abd Samad, telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4 petang tadi.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah buat mak saya. Doakan semoga rohnya dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima segala amal ibadah dan ditempatkan bersama hamba-Nya yang beriman,” tulisnya.
Sebelum ini, Fauziah dilaporkan menghidap osteoarthritis, sejenis masalah berkaitan radang sendi, sejak 2006 sehingga memerlukan penggunaan kerusi roda.
Allahyarham terlebih dahulu membina kerjaya dalam bidang kewartawanan apabila memulakan tugas sebagai wartawan pada 1973 sebelum berkhidmat dengan beberapa organisasi media tempatan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Berita Harian dan Karangkraf.
Selepas beberapa tahun dalam dunia kewartawanan, Fauziah melebarkan langkah ke bidang seni lakon sekitar 1980 dan mencipta nama menerusi beberapa karya popular sehingga awal 2000-an termasuk Pak Tam Duda, Santan Berlada dan drama bersiri Rumah Kedai.
Tidak terhenti pada lakonan, Fauziah turut pernah merakamkan album bersama Allahyarham Mr. Os berjudul Berkenan Bebenor Teman, memperlihatkan sisi seninya turut berkembang dalam bidang muzik.
Pemergian Fauziah meninggalkan legasi panjang dalam dunia media dan hiburan selepas lebih lima dekad berkarya serta berkongsi pengalaman bersama masyarakat menerusi kewartawanan, lakonan dan muzik. – HIBGLAM.

