Pelangi Selepas Hujan, Lie taruhan Lokarya

SELEPAS penubuhan pada 2019, kumpulan indie Lokarya membuka lembaran segar menerusi peluncuran dua single terbaharu bertajuk Pelangi Selepas Hujan dan Lie.

Dianggotai lima ahli iaitu Shaheth Nair (vokalis/gitar), Khairi Hamidi (gitar), Rafael Ahmad (bass), Taka (keys) dan Amirul Zailan (dram), Lokarya terus mengukuhkan identiti muzik mereka menerusi adunan elemen city pop moden, soul, serta alternatif yang diberi sentuhan kontemporari.

Menurut Shaheth, karya yang dihasilkan penyanyi Noh Salleh itu membawa mesej yang cukup mendalam mengenai kepasrahan menyerahkan segala urusan kehidupan, cinta dan takdir kepada Tuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, lagu ini bukan hanya tentang kesusahan yang kita lalui, tetapi tentang harapan selepasnya.

Ada masa kita terlalu sibuk mencari jawapan, sedangkan mungkin kita hanya perlu berhenti dan kembali kepada Tuhan,” katanya.

Pelangi Selepas Hujan tampil dengan susunan muzik yang lebih ceria, harmoni serta bait lirik puitis, sekali gus membuktikan kematangan karya Lokarya.

Dalam pada itu, single Lie pula menampilkan sisi berbeza band berkenaan.

Karya berbahasa Inggeris berkenaan merupakan antara lagu terawal yang ditulis Shaheth pada 2014 sebelum diberi nafas baharu bersama anggota Lokarya yang lain.

“Lie adalah sebahagian daripada sejarah saya sebagai penulis lagu.

Selepas bertahun-tahun, lagu ini kembali dalam keadaan berbeza dan akhirnya menemui kehidupan baharu bersama Lokarya,” kongsinya lagi.

Dua buah tangan baharu tersebut bakal menjadi sebahagian daripada album sulung mereka.

Album tersebut tidak terikat kepada satu genre semata-mata, sebaliknya meneroka pelbagai warna muzik, susunan dan emosi supaya setiap lagu mempunyai karakter tersendiri.

Bagi Lokarya, album ini bukan sekadar koleksi lagu, tetapi ruang untuk memperkenalkan arah, imej dan identiti terkini mereka kepada pendengar.

Pada masa sama, mereka turut merancang mengadakan jelajah atau persembahan sebagai langkah mendekati peminat dan membawa muzik Lokarya ke pentas lebih luas.

Single Pelangi Selepas Hujan dan Lie kini boleh dilayari menerusi semua platform penstriman digital utama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok