Taiyuddin Bakar kini penyanyi band punk rock, Uncure

Pelakon Taiyuddin Bakar mengejutkan ramai peminat apabila kini bergelar vokalis band punk rock, Uncure.

Menurut Taiyuddin, 41, dunia muzik bukanlah asing baginya kerana sebelum bergelar pelakon dia terlebih dahulu menjadi penyanyi sebuah band underground, The Innocent.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu asalnya saya memang vokalis sebuah band underground tetapi lepas menjadi pelakon saya terus tidak aktif menyanyi.

“Namun, tawaran untuk menjadi vokalis band Uncure pada penghujung tahun lalu bagi saya hadir pada waktu yang tepat,” ujarnya.

Taiyuddin yang sebelum ini popular dengan filem Apa Celop Toq.. dan Hantu Bonceng menafikan keputusannya untuk bergelar penyanyi kerana tawaran lakonan yang semakin kurang.

Sebaliknya, hanya mengembangkan lagi potensi sebagai seorang anak seni.

Selepas orang kenal saya sebagai pelakon, kini saya mahu tonjolkan sisi berbeza Taiyuddin Bakar kepada peminat.

“Saya masih aktif berlakon dan tawaran lakonan itu sentiasa ada, malah pada tahun ini ada beberapa buah filem saya y²ang akan ditayangkan tidak lama lagi,” jelasnya.

Sungguhpun begitu, Taiyuddin yang sebelum ini dikenal sebagai seorang jemaah tabligh menjelaskan imejnya bukanlah satu halangan untuknya aktif bersama band Uncure.

Muzik dan lirik serta cara kita berpakaian tidak menunjukkan dalaman kita. Saya masih boleh berdakwah meskipun bersama band punk rock dan skinhead.

“Niat saya hanya satu mahu membawa band Uncure keluar dari kepompong underground dan cuba pasaran mainstream pula selepas ini,” tutur Taiyuddin yang ditemui pada majlis sidang media Showcase Uncure: Palestin Hak Yang Dinafikan semalam.

Band Uncure yang ditubuhkan pada 1996 dan telah beberapa menukar ahli. Kini, band Uncure dianggotai oleh Anaz (gitar), Macik (drum), Hakim (bass) dan Taiyuddin selaku vokalis keempat mereka.

Dalam pada itu, atas kesedaran untuk turut sama menzahirkan solidariti terhadap saudara di Palestin, Uncure muncul dengan lagu Palestin: Hak Yang Dinafikan.

Sebagai kesinambungan, mereka bakal membuat persembahan Showcase Uncure: Palestin Hak Yang Dinafikan pada 14 September ini di Warisan Hall Studio, Teluk Panglima Garang, Selangor.

“Showcase ini bertujuan menggabungkan kelompok yang berbeza latar belakang dalam satu acara dengan maksud yang sama iaitu muzik dan solidariti bersama Palestin. Ini membuktikan band underground juga ada suara dalam memperjuangkan isu Palestin,” ujar Taiyuddin.

Mengikut perancangan dalam persembahan berdurasi dua jam setengah bermula pukul  8.45 malam  itu, band Uncure akan mendendangkan 10 buah lagu beserta selingan persembahan oleh DJ Soul Boss.

Sungguhpun begitu penonton boleh berada di Warisan Hall Studio seawal pukul 5 petang untuk  mengikut aktiviti solidariti yang diadakan sebelum showcase bermula.

Tiket-tiket berharga RM89 dan RM100 selepas 25 Ogos 2024 boleh dibeli secara terus menerusi akaun media sosial rasmi band Uncure iaitu Uncure_kugiran (Facebook/Instagram/Youtube) dan Uncure (TikTok).

keuntungan dari jualan tiket akan disumbangkan kepada kedutaan Palestin di Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok