Bronkitis, sakit tekak bukan penghalang, Awie Bedal 36 Lagu!

DIUJI sakit tekak dan serangan bronkitis kali kedua akibat jerebu melanda negara sejak beberapa minggu lalu, penyanyi Datuk Awie tetap menggagahkan diri menghiburkan 20,000 peminat menerusi konsert Awie Rock King Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka, malam tadi.

Ujar Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, keadaan cuaca berjerebu memberi kesan terhadap sistem pernafasannya sehingga mengakibatkan paru-parunya mengalami gangguan.

“Cuaca berjerebu agak teruk sehingga menyebabkan saya mengalami bronkitis (keradangan) kali kedua. Apa pun, ‘show must go on’ (persembahan mesti diteruskan).

Berat sungguh dugaan kali ini. Apa pun, saya pasrah dan kita teruskan juga dengan apa sahaja daya ada. Insya-Allah, saya akan habiskan persembahan malam ini dengan baik. Doakan saya,” katanya.

Sepanjang persembahan, Awie tetap memberikan tenaga maksimum meskipun suaranya kedengaran serak pada beberapa bahagian lagu.

Dia turut beberapa kali memegang tekak, memperlihatkan keperitan ditanggung ketika beraksi di pentas.

Konsert hampir empat jam itu menampilkan 36 lagu menerusi lima segmen, termasuk Kita Bersama, Legasiku, Cinta dan Filem, Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget) serta Tribute To Anak Seni Yang Telah Tiada.

Persembahan turut disokong lima kumpulan muzik dan lebih 20 pemuzik profesional, termasuk Man Kidal, Eddie XPDC, Muzza, Pacai Ekamatra, Addy Cradle, Yan Lefthanded, Shah Slam dan Naimi Daini di posisi dram, selain Fly Halizor dan Ritz Metalasia.

Barisan pemuzik tersebut diketuai pemain gitar terkenal, Aznan Alias selaku pengarah persembahan.

Antara momen mencuri perhatian apabila Awie membuat kejutan dengan menyampaikan lagu Maharani khas buat isterinya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-10.

Pertemuan semula Awie bersama Erra Fazira turut mengimbau nostalgia perjalanan seni mereka suatu ketika dahulu.

Namun, Awie sempat berseloroh enggan menyanyikan lagu Tragedi Oktober kerana karya berkenaan sering dikaitkan dengan gosip percintaan mereka.

Sepanjang mengalunkan 36 lagu, persembahan Awie turut diserikan dengan kemunculan Hattan, Black, Akim, Stacy, Amir Masdi, Merah dan Hannah Delisha sebagai penyanyi jemputan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok