Sal Praindi, Raim Laode tak sabar gegar Sabah

LANDSKAP hiburan tanah air terus diwarnai dengan sajian konsert berkualiti apabila penganjur, Sembang Kari Entertainment kembali menganjurkan Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat.

Bakal berlangsung pada 2 Oktober depan di Sabah International Convention Centre (SICC), konsert berskala besar tersebut menyaksikan dua figura muzik dari Seberang, Sal Priadi dan Raim Laode.

Penganjuran edisi ketiga tersebut dijangka menterjemahkan fenomena luar biasa memandangkan kedua-dua penyanyi berkenaan mempunyai pengaruh kuat serta kelompok peminat tegar tersendiri menerusi rangkaian karya-karya beremosi dan puitis mereka.

Dari sudut penganjuran, Pengarah Teknikal Sembang Kari Entertainment, Alif Rafiq menegaskan bahawa Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat merupakan usaha berterusan syarikat dalam membawakan persembahan muzik berkualiti tinggi dari Nusantara terus kepada komuniti pencinta muzik di Sabah.

Melodi Malam 3.0 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman muzik yang menghubungkan artis dan peminat dalam suasana yang lebih dekat dan bermakna.

Kami yakin gabungan Sal Priadi dan Raim Laode mampu memberikan persembahan yang akan dikenang semua yang hadir. Sabah sentiasa mempunyai komuniti pencinta muzik yang luar biasa.

“Melalui Melodi Malam 3.0, kami berharap dapat menghadiahkan satu malam yang penuh emosi, nostalgia dan kenangan buat semua yang hadir. Kami mengajak orang ramai mendapatkan tiket lebih awal kerana kami menjangkakan sambutan yang sangat menggalakkan,” jelasnya.

POPULAR dalam TikTok dengan ungkapan kata-kata yang menyentuh hati, Raim Laode menjadi taruhan Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat pada 2 Oktober depan.

Malam nostalgia Sal Priadi, Raim Laode buat peminat Sabah

Peluang menganjurkan persembahan di Kota Kinabalu disifatkan penyanyi Sal, sebagai satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama menanti masa yang sesuai.

“Saya sentiasa mendengar betapa hangatnya sambutan peminat muzik di Sabah.

Akhirnya peluang itu tiba dan saya sangat teruja untuk bertemu mereka.

“Saya berharap kita dapat menyanyi bersama dan berkongsi malam yang penuh emosi serta kenangan indah,” katanya.

Sementara itu, Raim turut meluahkan rasa teruja dan menyifatkan konsert ini sebagai platform terbaik untuk mendekati peminat setia di Malaysia secara lebih intim.

“Muzik sentiasa menjadi medium yang menyatukan hati dan perasaan. Saya berharap setiap lagu yang dipersembahkan nanti dapat mencipta memori indah bersama peminat di Kota Kinabalu.

“Terima kasih kerana sentiasa memberikan sokongan kepada karya-karya saya,” luahnya.

Tiket konsert sudah mula dijual melalui laman sesawang www.myticketempire.com dengan harga RM229. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok