‘Terima tawaran baru tahu saya bukan pelumba tetapi mekanik’

“SEBENARNYA ada sedikit rasa terkilan saya jadi ‘foreman’.”

Demikian luahan pelakon Zizan Razak yang mengakui hampa apabila tidak ditawarkan watak utama dalam filem terbaharunya, Terbang.

Bagaimanapun, Zizan atau nama lengkapnya Mohd. Razizan Abdul Razak, 42, berkata, perasaan itu lenyap setelah dimaklumkan naskhah tersebut mengangkat kisah legenda rali negara, Karamjit Singh.

“Saya terima tawaran sebab Karamjit Singh. Ini antara filem yang saya bersetuju walaupun hanya bawa watak pembantu.

Saya lahir sebagai Zizan Razak, memang nak jadi pelumba selain pelakon. Bila ditawarkan filem yang mengangkat kisah legenda rali, sudah tentulah saya terima. Selepas itu baru tahu saya bukan pelumba tetapi mekanik.

“Tapi bila fikir balik, filem ini bukan tentang saya tetapi mengenai Karamjit Singh. Bila baca skrip, tiada sebab untuk saya tolak filem ini,” katanya HibGlam pada malam gala Terbang, semalam.

Sambung pelakon filem Polis Evo itu lagi, selepas meneliti skrip Terbang dia tidak lagi memikirkan tentang watak kerana mahu menjadi sebahagian daripada naskhah berkenaan.

“Saya terima cerita ini, saya kena jayakan sebab akan jadi biografi untuk Malaysia.

“Saya dah tengok Senna, Rush dan Ford v Ferrari, filem-filem berdasarkan fakta. Malaysia tak ada lagi.

Tak pegang watak utama pun tak mengapa, janji saya antara orang yang menyumbang untuk pastikan filem ini berjaya, insya-Allah,” katanya.

Berkongsi lanjut, Zizan mengakui menyanjung tinggi Karamjit yang pernah meletakkan nama Malaysia di mata dunia pada era 2000-an.

“Karamjit Singh hero saya, daripada kecil saya tengok dia. Beliau pernah naikkan nama Malaysia pada era 2000-an.

“Saya pernah berjumpa dengan beliau beberapa kali di trek tapi saya tak pernah tegur. Saya segan dan hormat.

Saya letak Karamjit Singh setaraf Valentino Rossi, Marc Márquez dan Michael Schumacher sebab nama dia besar.

“Masa saya jalani penggambaran di Australia, ketika lepak dengan pasukan rali sana, mereka tanya mengenai Kramjit,” luahnya.

Diarahkan Chiu Keng Guan, Terbang menyingkap kisah perjalanan pasukan rali Malaysia diketuai legenda Karamjit Singh membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai apabila rakyat bersatu dan bekerjasama.

Selain Zizan, Terbang turut dibintangi Irfan Zaini, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz, Qasrina Karim, Razib Salimin, Ruminah Sidek, Peggie Ng, Ng Meng Tuck dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Terbang akan menggegarkan pawagam seluruh tanah air bermula 17 September ini. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok