MENERIMA banyak mesej langsung (DM) daripada individu yang mahu berkenalan, pelakon Zara Zya tegas menolak cubaan lelaki berstatus suami orang yang mahu mendekatinya.
Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, berkata golongan yang sudah beristeri diharap dapat menghormati pasangan masing-masing serta jangan melampau.
“Saya tiada masalah sebenarnya (bagi respons), tetapi saya fikir juga untuk hari ke depan. Takut (melayan) kerana kita tak tahu tujuan serta isi hati orang.
“Ramai yang DM termasuk peminat wanita. Cuma kalau bolehlah, untuk suami orang, tak payahlah nak mesej (nampak) mengatal sangat. Risau saya.
“Kadang-kadang saya nasihatkan juga dalam siaran langsung. Tak payah nak lebih-lebih, tolonglah hormat isteri,” katanya ketika ditemui pada pelancaran drama bersiri iQIYI Original, Sekali Lagi Bahagia, semalam.
Zara yang membawakan watak Ekin dalam naskhah tersebut berkata tidak semua perkara boleh dianggap remeh terutama apabila membabitkan hubungan dan status perkahwinan seseorang.
Ada benda kita boleh santai-santai serta jadikan gurauan dan ada yang tak boleh buat gurauan. Jadi, biasanya saya tak layan dan biarkan sahaja mesej itu tanpa balasan,” ujarnya.
Pada masa sama, Zara berkata, sebahagian mesej diterima adalah daripada golongan muda yang melayangkan mesej di laman sosial sekadar ingin mengikut trend semasa.
“Budak-budak sekarang pun ada saya rasa punya sebab tersendiri rajin DM. Mungkin nak ikut trend. Tahu-tahu masuk DM nak berkenalan tapi panggil kita kakak.
“Situasi lucu macam ini yang kita seronok layan. Saya tahu mereka sekadar suka-suka nak gurau dan usik. Ada juga yang nak buat konten,” katanya.
Mengenai drama bersiri arahan Jamal Khan itu, katanya watak digalas sebagai wanita diceraikan suami itu mewakili cebisan kehidupan sebenar sebilangan kaum Hawa.
“Emosi dalam naskhah ini ada turun naik terutama berkaitan Erin yang terpaksa menumpang di rumah bujang adik lelakinya bersama anak sebaik bergelar ibu tunggal.
“Banyak pengajaran dapat diambil dalam setiap watak serta adegan yang menonjolkan realiti dalam dunia nyata,” ujarnya.
Selain Zara, Sekali Lagi Bahagia turut dibarisi Izzue Islam, Afieq Shazwan, MK K-Clique, Datin Seri Noniswara serta Dayang Areeda. – HIBGLAM
