AYAH saya sudah umur 70 tahun, ibu pula 67. Saya mahu anak sempat kenal nenek dan datuk mereka sebelum apa-apa berlaku.”
Itu antara sebab utama penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan, 32, dan suami, Dr. Siew Jim Ding mengambil keputusan untuk menjalani kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) untuk memiliki cahaya mata.
Menurutnya, perkara yang paling merisaukan adalah pertambahan usia kerana bimbang mengganggu kesuburan dirinya dan suami.
“Sebab utama saya dan suami buat IVF ialah kami sudah cuba nak dapatkan anak sejak tiga tahun lalu. Tahun ini umur saya 33, tahun depan 34.
“Jadi, memang rancangan saya untuk mempunyai anak sebelum saya berusia 35 tahun.
“Sebenarnya sebelum IVF, saya dah cuba kaedah intrauterine insemination (IUI) sebanyak dua kali tetapi tidak menjadi,” katanya kepada HibGlam semalam.
Ditemui pada majlis sidang media filem Pemuja Syaitan, Elizabeth berkata, dia akan belajar untuk reda sekiranya usaha untuk memiliki anak masih belum berhasil.
Kalau masih tidak menjadi, bermakna mungkin bukan rezeki saya untuk mendapat anak dalam hidup ini.
“Ibu bapa pun semakin berusia, bukannya bertambah muda. Kalau ikutkan hati, saya memang mahu terus fokus kepada kerjaya tetapi pada akhirnya perlu realistik.
“Masa semakin suntuk, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk individu sekeliling saya,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, proses IVF yang dijalani baru-baru ini melibatkan pengambilan telur dan persenyawaan sebelum embrio dibekukan sebelum dimasukkan ke dalam badannya tahun depan.
“Sebenarnya hari itu kami baru menjalani proses pengambilan telur tetapi kami simpan dahulu.
“Saya masukkan tahun depan sebab saya akan jalani penggambaran sebuah filem pada April tahun depan. Selepas selesai, terus kita lakukan pemindahan embrio.
Saya sudah membelanjakan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 setakat ini untuk mendapatkan bayi tetapi masih belum hamil, harap kali ini ada rezeki” ujarnya.
Dalam pada itu, dia bersyukur apabila menerima sokongan dan doa daripada orang ramai selepas berkongsi mengenai perjalanan rawatan kesuburannya.
“Saya sangat terharu dan tidak menjangka mendapat banyak reaksi positif daripada orang ramai. Seronok lihat semua orang mendoakan saya, rasa sangat disayangi.
“Ramai juga yang mesej saya dalam media sosial berkongsi tips jaga kesihatan sepajang buat IVF, terima kasih,” kongsinya.
Terdahulu, pada 2024, dia pernah mendedahkan mengalami keguguran dua kali ketika usia kandungannya sekitar enam sehingga tujuh minggu.
Elizabeth dan Jim mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2021.
Dalam perkembangan lain, Elizabeth muncul dengan filem seram Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay.
Filem yang dijangka menemui penonton pada 15 Oktober depan itu menampilkan Zul Ariffin Nadhir Nasar dan Aila Azizul. – HIBGLAM
