Afieq Shazwan pilih 28.08.28 tarikh nikah

TULAR spekulasi bakal mendirikan rumah tangga, pelakon dan penyanyi Afieq Shazwan hanya sedia menamatkan zaman bujang dalam tempoh dua tahun lagi dengan memilih 28 Ogos 2028 sebagai tarikh pernikahan.

Afieq atau nama sebenarnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 29, berkata, perincian perancangan ke fasa itu masih terlalu awal untuk dikongsi termasuk identiti calon isteri memandangkan dirinya kini lebih mengutamakan kerjaya.

“Setakat ini belum ada perancangan yang betul-betul pasti dan teratur. Cuma apa yang boleh saya cakap sasaran saya adalah dua tahun lagi.

“Lebih kurang 28 Ogos 2028. (Mungkin) sebab tarikh itu cantik. (Tetapi) tak boleh sebut lagi nama wanita itu (bakal isteri),” katanya ketika ditemui pada pelancaran drama bersiri terbitan iQIYI, Sekali Lagi Bahagia, hari ini.

Menurutnya, buat masa ini dia belum sedia untuk melangkah ke alam perkahwinan kerana menyedari tanggungjawab yang bakal dipikul bukan hal kecil.

“Agak berisiko untuk menamatkan zaman bujang sekarang kerana tanggungjawab besar. Saya tak nak apabila nanti saya sibuk bekerja, akhirnya mengabaikan keluarga.

“Biarlah masing-masing mengejar apa yang diinginkan. Satu hari nanti, kalau betul-betul sudah bersedia, barulah kami akan umumkan,” ujarnya.

Diasak lagi mengenai hubungan bersama wanita yang dikaitkan dengannya, Afiq mengakui mereka pernah melalui fasa perselisihan faham sebelum kembali berbaik.

“Kadang-kadang seorang tak faham seorang lagi. Kemudian, masing-masing ada kerjaya sendiri. Apabila dah berbaik, jadi mesra balik. Terbuka hati memaafkan,” ulasnya

Walaupun enggan mendedahkan nama si dia, Afieq juga mengakui tujuan berbuat demikian antara lain adalah untuk mengelakkan penyakit ain.

“Kadang-kadang apabila kita terlalu mendedahkan hubungan, kita tak tahu apa yang boleh berlaku, menyebabkan bergaduh sampai tak mahu bersemuka.

“Sekarang kami lebih fokus kepada kerjaya masing-masing. Apabila orang tidak terlalu tahu, hubungan lebih mudah dari segi komunikasi.

“Kami pun tak berdua-duaan, selalunya dengan kawan-kawan. Mereka pun sokong. Nak bercinta manis-manis pun tidak. Kawan sahaja, simpan selepas kahwin nanti,” katanya.

Sebelum ini, Afieq pernah dikhabarkan menjalinkan hubungan istimewa dengan penyanyi Wani Kayrie ketika menyertai program Big Stage 2018.

Sejak itu gosip percintaan mereka hangat diperkatakan malah saling membalas perasaan melalui lagu mereka.

Mengenai Sekali Lagi Bahagia arahan Jamal Khan, selain Afieq naskhah terbitan Orange Tree itu turut dibintangi Zara Zya, MK K-Clique dan Izzue Islam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok