Proses dokumentasi ambil masa punca Siti Jamumall kahwin di Thailand

PEMPENGARUH Siti Jamumall mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Aiman Tak Kesah di Thailand pada 1 Jun lalu kerana mahu mempercepat pernikahan.

Ini kerana Siti atau nama lengkapnya Siti Suriani Wahiddin, 25, berkata, proses dokumentasi perkahwinan di negara lazimnya mengambil masa yang lama.

“Ramai orang tak tahu saya sebenarnya perlu terbang ke Dubai selepas batalkan perkahwinan dengan bekas tunang pada 31 Mei lalu.

“Sebagaimana yang orang sedia maklum, urusan dokumentasi untuk berkahwin mengambil masa yang lama di sini.

“Bagaimanapun, saya tidak galakkan orang ramai untuk berkahwin di luar negara seperti apa yang saya lakukan tetapi apa salahnya. Saya sudah memberitahu keluarga kedua-dua belah pihak,” kata Siti pada sesi sidang akhbar tergempar penjelasan perkahwinannya.

Siti juga mengakui tidak menyimpan apa-apa dendam dan enggan peduli menanggung kos kerugian sebanyak RM70,000 meskipun pernikahan tersebut tidak berlaku.

“Memang benar, saya kerugian hampir RM70,000 yang meliputi kos keseluruhan majlis termasuk tempahan dewan, makan dan sebagainya.

“Saya buat keputusan untuk batalkan walaupun dua hari lagi majlis berlangsung. Keputusan tidak dibuat secara terburu-buru dan saya sudah melakukan solat istikarah.

“Bagi saya siapa kita nak halang takdir, Allah yang tetapkan. Sebelum ini selalu dengar cerita orang lain hadapi dugaan bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin bersama orang lain. Siapa sangka perkara tersebut terjadi kepada saya,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, pempengaruh yang juga usahawan itu sudah menghantar borang pendaftaran pernikahan di sini dan bersedia untuk membayar denda.

Sementara itu, setelah berbincang dengan kedua belah pihak keluarga, Aiman atau nama sebenarnya Khairul Aiman Ahmad Kudus, 21, memaklumkan akan mengadakan majlis resepsi bagi meraikan pernikahan mereka.

Terdahulu, Siti dijadualkan bernikah dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya pada 31 Mei lalu namun terpaksa dibatalkan saat akhir atas faktor peribadi.

Difahamkan, segala persiapansudah dibuat termasuk mengedarkan kad jemputan kepada semua tetamu.

Sekadar info, Siti pernah berkahwin sebelum ini namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga. Hasil perkahwinan itu Siti dikurniakan dua anak lelaki Putra Adam Rizki, 4, dan Putra Aiman Zafran, 2 – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok