HAMPIR enam tahun terpisah, usahawan dan pempengaruh sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat akhirnya bertemu ibunya di Singapura, pagi tadi.
Momen penuh emosi tersebut dikongsikan pelakon dan hos asal Kota Singa, Roslan Shah atau Cik Lan yang membantu mempertemukan Sajat dengan bonda tercinta.
Pertemuan tersebut mencetuskan suasana sebak apabila Sajat, 41, menangis dapat memeluk insan kesayangannya, Maimon Omar selepas sekian lama tidak bersua.
Menerusi perkongsian video di media sosial, Cik Lan mendedahkan mengambil ibu Sajat di Johor sebelum membawanya ke republik berkenaan.
“Sebak Cik Lan tadi apabila seorang ibu memeluk anak yang sudah lama tak bertemu.
“Cik Lan jemput ibunya di Larkin, Johor Bahru yang sampai dari Rembau pukul 4 pagi bersama pembantu Cik Lan, Fian (kemudian) terus masuk Singapura.
“Kita doakan yang baik-baik sahaja ya,” katanya menerusi hantaran video di platform Threads miliknya.
Difahamkan personaliti kontroversi yang bermastautin di Australia itu berada di Kota Singa sejak beberapa hari lalu selain sempat menghabiskan masa dengan anak angkat perempuannya di taman tema Universal Studio Singapura, Ahad lalu.
Sebelum ini kisah Sajat dengan keluarganya meraih perhatian apabila pempengaruh itu berdepan kesukaran bertemu dua anak angkatnya.
Sekali gus, pertemuan bersama ibunya ini menjadi noktah kepada penantian panjang, selain mengundang rasa syukur dan sebak dalam kalangan pengikutnya.
Terdahulu, pada 18 Oktober 2021, Sajat, berhijrah ke Australia untuk membina kehidupan baharu sendirian di sana. – HIBGLAM
