BELUM pun melangkah ke alam perkahwinan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq kini serius memahami tanggungjawab sebagai suami apabila banyak mengemukakan persoalan mengenai nafkah ketika menghadiri kursus praperkahwinan bersama tunangnya, Bella Astillah.
Menerusi video yang kembali tular di media sosial, Syed Saddiq atau nama lengkapnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, rancak mengajukan soalan kepada penceramah berhubung kaedah pemberian nafkah kepada isteri.
“Mana lebih baik, bagi bulanan atau lelaki bayar saja bila keluar?” katanya menerusi potongan video dikongsikan dalam platform Threads.
Penceramah itu kemudian menjelaskan nafkah zahir yang perlu diberikan adalah mengikut kemampuan seseorang ketua keluarga.
“Dalam bab nafkah zahir ini tolong ikut kemampuan suami. Isteri nak bantu boleh tetapi bantulah dengan betul,” katanya.
Syed Saddiq turut mendapatkan penjelasan mengenai pemberian nafkah berdasarkan kemampuan terutama bagi lelaki yang berpendapatan lebih rendah.
“Bagaimana nak definisikan (nafkah) kalau ikut kemampuan masing-masing?
Bagi seseorang yang mungkin tiada gaji lebih tinggi, mungkin telah pun laksanakan pembahagian empat perkara,” soalnya.
Dalam sesi tersebut, penceramah turut mengingatkan wanita supaya tidak memandang rendah suami hanya kerana jurang pendapatan.
“Orang perempuan tak boleh nak cakap dia beli tetapi tak minta duit. Jangan cakap begitu.
Walaupun suami kita bergaji rendah daripada kita, dia tetap suami,” katanya.
Dalam potongan video yang difahamkan dirakamkan pada Mei lalu, turut menemani pasangan digelar BASS itu adalah adik kepada penyanyi dan pelakon, Didi Astillah serta suaminya, Diniey Ng.
Video berkenaan kembali mencuri perhatian selepas tarikh hari bahagia pasangan sensasi tersebut semakin hampir iaitu pada 10 Oktober ini.
Terdahulu, spekulasi mengenai tarikh pernikahan mereka semakin kuat selepas Syed Saddiq dan Bella dilihat berkunjung ke pejabat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya, bulan lalu.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan tarikh pernikahannya dengan Bella, 31, sudah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun mereka belum bersedia berkongsi perincian tersebut.
Namun pada 18 Ogos lalu kedua-duanya mengumumkan tarikh pernikahan mereka adalah pada 10 Oktober 2026 di aras 118, Menara Merdeka Maybank.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula berkenalan dengan lebih rapat pada tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Terdahulu, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz pada 2016 sebelum bercerai kali pertama pada 2019 dan kembali rujuk dalam tempoh edah.
Bagaimanapun, pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6, itu bercerai kali kedua pada 13 Jun 2024.
