Singkirkan Macklemore, Ed Sheeran ‘ditinggal’ 4 artis

JELAJAH penyanyi Britain, Ed Sheeran di Amerika Utara dan Amerika Selatan mencetuskan kontroversi apabila terbaharu, empat penyanyi bertindak menarik diri sebagai tanda solidariti terhadap rapper, Macklemore.

Tindakan berkenaan dilakukan selepas penerima empat trofi Anugerah Grammy itu disingkirkan daripada jelajah tersebut susulan kenyataan berunsur pro-Palestin yang disuarakannya ketika mengadakan persembahan di Amerika Syarikat (AS).

Beberapa jam selepas Sheeran tampil menjelaskan mengenai penyingkiran Macklemore menerusi media sosial, artis Ireland, Aaron Rowe dan Beoga, kumpulan Denmark, Lukas Graham serta Finneas, adik kepada penyanyi Billie Eilish, juga artis yang menyertai jelajah sama mengumumkan keputusan meninggalkannya.

Rowe dan Lukas Graham sebelum ini dijadualkan menggantikan Macklemore bagi baki persembahan Sheeran di AS, manakala Beoga juga
kumpulan folk Ireland sudah membuat persembahan bersama penyanyi lagu Perfect itu membawakan karya yang pernah ditulis mereka bersama-sama.

Finneas pula dijadualkan menyertai Sheeran bagi siri persembahan di Amerika Selatan pada Disember tahun ini.

Menerusi Instagram, Finneas berkata, artis tidak seharusnya didiamkan apabila bersuara untuk golongan yang tertindas.

“Saya memutuskan untuk menarik diri daripada tarikh jelajah bersama Ed Sheeran yang akan datang. Saya berdiri bersama Palestin dan rakyatnya,” katanya.

Keputusan empat penyanyi tersebut secara tidak langsung meningkatkan

tekanan terhadap Sheeran yang sebelum ini cuba mengelak daripada terheret dalam isu politik serta konflik di Gaza.

Tarik diri

Dia sebelum ini menegaskan, peminat yang hadir ke konsertnya datang untuk menikmati muzik, bukannya mendengar perbahasan politik.

Pada masa sama Beoga menggunakan sejarah Ireland sebagai antara alasan untuk menyatakan pendirian mereka, termasuk pengalaman berkaitan kolonialisme.

“Kami rakyat Ireland memahami kolonialisme. Sebagai anggota pengasas gerakan Irish Artists for Palestine, kami komited untuk terus memperjuangkan keadilan,” ujarnya.

Rowe pula menyifatkan Sheeran sebagai seorang sahabat yang banyak mengubah kehidupannya, namun mengakui tidak mampu berdiam diri dalam isu sejagat tersebut.

“Sebagai rakyat Ireland, kami terlalu memahami tentang pembunuhan beramai-ramai, kebuluran secara paksa dan pendudukan secara ganas,” tegasnya.

Sementara itu, Lukas Graham yang popular menerusi lagu 7 Years dan Mama Said menyifatkan keputusan meninggalkan jelajah tersebut sebagai sesuatu yang sukar.

“Wang tidak memberi seseorang hak untuk mengawal perbualan. Baki akaun bank seseorang tidak sepatutnya menentukan siapa yang boleh bersuara atau penderitaan mana yang boleh kita akui,” itu kenyataan kumpulan terbabit.

Kontroversi bermula selepas Macklemore mendakwa dirinya disingkirkan daripada Loop Tour selepas melaungkan slogan Free Palestine! ketika persembahan di MetLife Stadium, New Jersey pada 5 September lalu.

Ketika memperkenalkan lagu protesnya, Hind’s Hall, Macklemore turut menjelaskan bahawa kritikan terhadap Israel, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai bukan kritikan terhadap masyarakat Yahudi.

Dia juga mendakwa beberapa venue di AS memaklumkan kepada penganjur bahawa mereka tidak membenarkannya membuat persembahan sebagai artis pembukaan Sheeran.

Robert Kraft, pemilik New England Patriots menerusi Kraft Group yang turut memiliki Gillette Stadium, kemudian mempertahankan keputusan membatalkan penglibatan Macklemore.

Kraft berkata keputusan itu dibuat susulan kenyataan terbaru Macklemore serta sejarah retorik dan imej yang dianggap bersifat antisemitik serta menyakitkan hati komuniti Yahudi.

Bahana neutral

Bagaimanapun, Sheeran menegaskan keputusan menggugurkan rapper berusia 43 tahun itu bukan diputuskannya secara sendirian.

“Macklemore dikeluarkan daripada jelajah adalah keputusan penganjur, bukan saya. Saya tidak akan mengecewakan peminat yang sudah membuat perancangan atau meninggalkan kru jelajah, artis sokongan dan pemuzik lain yang bergantung kepada saya untuk pekerjaan serta kehidupan mereka,” katanya.

Sheeran turut berkata, dia cuba berbincang dengan pihak venue sepanjang minggu bagi mencari jalan tengah, namun keputusan pengendali lokasi dan penganjur adalah muktamad.

“Saya mempunyai pandangan peribadi mengenai konflik yang dahsyat ini, tetapi memilih untuk tidak bercakap secara terbuka kerana mereka yang datang ke persembahan saya tidak mengharapkan forum politik.

“Saya tidak bersubahat,” katanya.

Sheeran pada masa sama menghormati pendirian Macklemore, namun percaya terdapat pelbagai pendekatan untuk mencapai matlamat sama iaitu keamanan.

“Saya memilih untuk menggunakan kemasyhuran dan platform saya sebagai tempat yang selamat, mengekalkan diplomasi serta memastikan perbualan terus terbuka, bukan tertutup,” ujarnya.

Jelajah Sheeran dijadualkan bersambung Sabtu ini di Philadelphia, dengan lapan daripada baki 10 persembahan asalnya sebelum ini menampilkan Macklemore sebagai artis pembukaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok