Padah besarkan alat sulit, pempengaruh meninggal dunia

HASRAT seorang ahli perniagaan juga pempengaruh British-Nigeria, Igho ‘Tiny’ Ubiribo untuk membesarkan alat sulit bertukar tragedi apabila dia meninggal dunia selepas menjalani prosedur suntikan pengisi zakar di Bangkok, Thailand.

Lelaki berusia 43, menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi 6 Mac lalu, sehari selepas menjalani prosedur kosmetik berkenaan di sebuah klinik yang tidak dinamakan di Bangkok.

Menurut laporan Guardian Nigeria yang memetik prosiding inkues di Inner West London Coroners’ Court, kelmarin, kira-kira 40 mililiter (ml) campuran asid hyaluronik dan lidocaine disuntik pada zakarnya bagi meningkatkan ukuran lilit alat sulit.

Ubiribo dilaporkan menjalani prosedur itu pada 5 Mac sebelum dia dan isterinya, Danielle Simba Allen, ke sebuah hotel di Bangkok dan mendapatkan urutan.

Bagaimanapun, ketika urutan, dia mengadu sakit dada sebelum pengsan sebanyak dua kali sebelum dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Sukhumvit.

Pada awalnya dia masih sedar serta mampu menjawab soalan doktor namun kesihatannya merosot apabila dia sekali lagi tidak sedarkan diri sebelum imbasan tomografi berkomputer (CT) sempat dilakukan.

Doktor kemudian mengesahkan dia mengalami embolisme pulmonari iaitu satu atau lebih saluran darah (arteri) di dalam paru-paru tersumbat dan memindahkannya ke unit rawatan rapi (ICU).

Pasukan perubatan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama lebih 100 minit, namun nyawanya gagal diselamatkan.

Laporan bedah siasat di Britain menemukan bahan dalam paru-paru Ubiribo yang sepadan dengan asid hyaluronik digunakan dalam suntikan berkenaan sekali gus penemuan itu dilaporkan selari dengan keputusan bedah siasat yang dijalankan di Thailand.

Penolong koroner, Jean Harkin, membuat kesimpulan bahawa prosedur kosmetik berkenaan menyebabkan embolisme pulmonari yang membawa kepada kematian Ubiribo.

Ubiribo yang turut dikenali sebagai Denisi atau Ego mempunyai kira-kira 185,000 pengikut di Instagram dan terkenal kerana berkongsi gaya hidup mewahnya.

Dia dilaporkan memiliki sebuah kediaman bernilai RM4.6 juta di Crenshaw, Los Angeles serta sebuah apartmen di London berharga RM2.5 juta.

Ubiribo berkahwin dengan seorang pereka fesyen dan sosialit, Danielle di Zimbabwe pada tahun 2022.

Mendiang dikebumikan di London dalam keranda emas yang dilaporkan bernilai lebih RM3.1 juta. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok