‘Lagu Ratuku dan Tragedi Oktober memang tentang Erra’

TIDAK berselindung, penyanyi Datuk Awie mengakui lagu Ratuku sememangnya ditulis khas buat Erra Fazira, ketika aktres itu masih dikenali sebagai Ratu Cantik Malaysia.

Ujar Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, karya berkenaan lahir daripada perasaan serta kenangan dilaluinya ketika menjalinkan hubungan istimewa dengan Erra pada era 1990-an.

“Sebenarnya lagu Ratuku memang khusus untuk dia (Erra). Ketika itu saya sedang mengusahakan projek istimewa membabitkan lagu Ratuku dan Bara.

“Apabila menulis lirik Ratuku, saya teringat dia sebagai seorang ratu kerana ketika itu dia baru sahaja memenangi gelaran Ratu Cantik Malaysia.

“Jadi, saya tuliskan sesuatu untuk dikenang dalam kisah percintaan kami pada masa itu. Lagu tersebut seolah-olah menjadi doa, kononnya kami boleh bersama. Namun, nampaknya harapan itu tidak kesampaian,” katanya dalam sebuah audio siar yang dihoskan Erra dan suaminya, Ezwan Zain.

Tambah Awie, sebuah lagi lagu berjudul Tragedi Oktober turut mempunyai kaitan dengan Erra, malah liriknya tercetus daripada satu peristiwa berlaku antara mereka.

“Ketika itu saya merakamkan lagu di Los Angeles. Tiba-tiba komposer album memberikan sebuah lagu kepada saya, tetapi belum ada lirik.

“Saya balik ke bilik dan duduk berfikir tentang apa perlu dilakukan. Akhirnya saya menulis berdasarkan kejadian di sekeliling dan mengimbas semula perkara pernah saya lalui.

“Ketika itu berlaku satu tragedi pada bulan Oktober, apabila saya telah mengasari dia (Erra). Sebab itu saya tulis, ‘Tak sanggup lagi aku mengenangkan kisah lalu, keganasan menghantui diriku’,” kongsinya.

Pengakuan tersebut sekali gus membuka kembali helaian kisah cinta dua bintang popular berkenaan, terutama apabila karya Ratuku dan Tragedi Oktober mempunyai cerita tersendiri di sebalik penghasilannya.

Untuk rekod, Awie dan Erra pernah menjalinkan hubungan cinta sebelum mengikat tali pertunangan pada 1996. Bagaimanapun, hubungan mereka berakhir sekitar 1998. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok