BILA muzik tidak lagi sekadar muzik, sejauh mana seseorang artis perlu bersuara apabila berdepan isu kemanusiaan?
Persoalan itu kembali menjadi perbualan hangat dalam industri muzik dunia susulan kontroversi membabitkan rapper Amerika Syarikat, Macklemore yang disingkirkan daripada baki jelajah Ed Sheeran selepas menyuarakan sokongan terhadap Palestin.
Keputusan berkenaan kemudian mencetuskan rentetan tindakan daripada beberapa artis lain apabila Finneas, Lukas Graham, Aaron Rowe dan Beoga turut menarik diri daripada jelajah berkenaan.
Masing-masing memberikan alasan berbeza, namun isu kebebasan bersuara, kemanusiaan dan hak artis untuk menggunakan platform mereka menjadi antara perkara yang diketengahkan.
Situasi itu secara tidak langsung menghidupkan semula perbualan mengenai pendirian artis terhadap isu dunia, termasuk kenyataan vokalis Evanescence, Amy Lee yang dibuat sebelum kontroversi Macklemore tercetus.
Dalam wawancara bersama The Guardian pada Ogos lalu, Amy Lee secara terbuka menyentuh mengenai kecenderungannya menggunakan muzik untuk berdepan isu lebih besar yang berlaku di sekelilingnya.
Malah, penyanyi berusia 44 tahun itu mengakui beliau tidak menyukai politik, namun melihat kewujudan manusia sendiri tidak dapat dipisahkan daripada perkara yang sering dilabel sebagai politik.
“Saya benci politik, tetapi kewujudan kita sendiri tidak dapat dipisahkan daripada politik.
“Kebanyakan daripada kita tidak mahu ada kaitan dengan segala kekejaman yang berlaku hari ini, tetapi sebagai manusia yang mempunyai hati dan jiwa, kita perlu bangkit dan mengambil pendirian.
“Saya sudah tidak mahu membiarkan orang lain membuatkan saya berasa perlu berdiam diri atau tidak selesa untuk bercakap mengenai perkara yang kini kita panggil politik, sedangkan ia sebenarnya berkaitan soal hidup dan mati, rogol, pembunuhan beramai-ramai serta merampas hak orang lain.
“Muzik selama ini menjadi wadah untuk saya meluahkan segala yang ada dalam hati, jadi kini muzik menjadi saluran untuk menyuarakan perkara-perkara besar yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Kenyataan itu memberikan gambaran jelas mengenai bagaimana Lee melihat peranan muzik sebagai medium untuk meluahkan perkara yang lebih besar daripada sekadar pengalaman peribadi.
Beliau turut menyentuh mengenai pertemuannya dengan manusia daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan di seluruh dunia, yang menurutnya tetap berkongsi nilai kemanusiaan yang sama.
“Saya bertemu dengan begitu ramai manusia di seluruh dunia yang mempunyai kepercayaan berbeza, namun kita sebenarnya tidak jauh berbeza.
“Kebanyakan manusia adalah insan yang baik dan sanggup membantu apabila melihat orang lain dalam kesusahan. Kebaikan itu sesuatu yang sangat berharga dan wajar dipertahankan.
“Kita perlu terus kuat, bersuara terhadap perkara yang tidak wajar dan tidak berundur dalam berdepan fahaman fasisme,” katanya.
Kenyataan tersebut kini terasa semakin relevan ketika industri muzik dunia berdepan persoalan sama — adakah pentas hanya tempat untuk menghiburkan, atau turut menjadi ruang untuk seseorang artis menyuarakan perkara yang dipercayainya?
Kontroversi Macklemore memperlihatkan sendiri bagaimana pendirian seorang artis terhadap isu politik dan kemanusiaan boleh mencetuskan kesan terhadap kerjaya serta peluang persembahan, selain mengundang reaksi daripada rakan seperjuangan dalam industri.
Namun, isu itu juga memperlihatkan bahawa tidak semua artis memilih pendekatan sama.
Ed Sheeran, misalnya, berkata keputusan untuk mengeluarkan Macklemore daripada jelajah itu dibuat oleh pihak promoter dan menegaskan beliau sendiri memilih untuk tidak menjadikan konsertnya sebagai forum politik.
Di sinilah persoalan mengenai muzik dan keberanian bersuara menjadi semakin menarik.
Kerana bagi sesetengah artis, diam mungkin merupakan pilihan.
Bagi yang lain pula, diam bukan lagi pilihan apabila isu yang dibicarakan menyentuh kehidupan, kematian, kemanusiaan dan hak asasi.
Dan Amy Lee sudah lama menjadikan muzik sebagai ruang untuk membicarakan perkara yang lebih besar daripada dirinya sendiri.
Daripada Bring Me To Life dan My Immortal yang membentuk identiti Evanescence pada awal karier mereka, kepada karya terbaharu Sanctuary, perjalanan muzik Lee memperlihatkan evolusi seorang artis yang tidak takut membawa persoalan emosi dan sosial ke dalam karyanya.
Kini, November ini, suara tersebut bakal bergema pula di Kuala Lumpur.
Evanescence akan membuat persembahan di National Hockey Stadium, Bukit Jalil pada 28 November 2026, menerusi satu-satunya persembahan mereka di Asia Tenggara, dengan Poppy diumumkan sebagai artis jemputan khas. – HIBGLAM
