DUNIA hiburan begitulah, hari ini kecoh soal cinta, esok kisah rumah tangga, lusa perang media sosial.
Minggu ini pula, suhu dunia hiburan kembali mencanak dengan kisah percintaan dua personaliti popular, Datuk Seri Vida dan Datuk Fazley Yaakob.
Selepas sekian lama bermain teka-teki, pasangan terbabit akhirnya mengesahkan hubungan mereka bukan hanya gimik pemasaran atau kandungan murahan, sebaliknya serius menuju fasa lebih jauh.
Cinta dua personaliti berstatus duda dan janda itu bermula selepas mereka dipertemukan menerusi program realiti Talk To My Manager musim kedua sekitar April lalu.
Fazley sendiri dikatakan menjadi pihak pertama meluahkan perasaan pada tarikh istimewa dalam kalendar Islam.
Vida pula mengakui terkejut dan tergamam sehingga terdiam lama menerima lamaran awal tersebut. Restu keluarga serta sokongan anak-anak kemudian menjadi jambatan menyatukan dua hati.
Namun, selepas gerbang cinta dibuka, pintu media sosial turut terbuka luas.
Panggilan ‘Sayang’ dan ‘Dida’ mula menjadi bahan usikan netizen. Ada berasa geli melihat kemesraan pasangan matang itu, malah ada mengaitkannya dengan perasaan anak-anak mereka.
Tidak kurang pula mempersoalkan kewajaran mempamerkan aksi romantik secara terbuka sebelum hubungan itu sah sebagai suami isteri.
Daripada sesi siaran langsung, gaya ketawa ditiru, sehinggalah kisah merajuk dan cemburu dipamerkan, hubungan mereka seolah-olah tidak pernah jauh daripada kamera.
Bagi peminat, mungkin lucu dan comel, namun buat sebahagian netizen, aksi sedemikian kelihatan terlalu kebudak-budakan untuk pasangan berusia 54 dan 48 tahun. Lebih-lebih lagi apabila kemesraan bukan hanya berlaku di balik tabir, tetapi dibawa terus ke ruang awam.

SEGELINTIR netizen mempersoalkan kewajaran Vida dan Fazley mempamerkan aksi romantik secara terbuka sebelum hubungan itu sah sebagai suami isteri.
Belum reda soal panggilan manja, muncul pula babak Vida cemburu apabila Fazley memuat naik foto menampakkan tubuhnya ketika menjalani sesi muay Thai.
Kalau pasangan muda merajuk, mungkin dianggap biasa tetapi apabila babak domestik turut dipersembahkan kepada khalayak, persoalannya bukan lagi siapa cemburu kepada siapa, sebaliknya mengapa hal sekecil itu perlu menjadi tontonan ramai?
Kemudian muncul pula episod paling mengundang senyum sinis apabila Vida meminta netizen mencadangkan gabungan nama untuk tanda pagar (hashtag) perkahwinan mereka.
“Tolong gabungkan tanda pagar nama saya dengan Dida yang sesuai untuk majlis berbahagia nanti,” tulisnya menerusi Threads.
Kelakar, tetapi dalam masa sama cukup menggambarkan bagaimana percintaan peribadi sudah bertukar menjadi kandungan awam sedangkan tarikh perkahwinan pun belum diumumkan.
Namun, termometer kembali naik selepas tular video Fazley mengurut kepala Vida di sebuah pusat peranginan ketika sesi Nightwalk yang mengundang teguran kerana dianggap kurang manis dipamerkan kepada umum sebelum mereka bergelar suami isteri.
Fazley akhirnya memohon maaf dan mengakui pihaknya perlu lebih berhati-hati, malah berjanji setiap kandungan selepas ini akan ditapis lebih teliti.
“Saya sebagai ‘bakal Imam DSV’ akan usahakan agar semuanya lebih mencerminkan contoh yang baik. Terima kasih dan doakan kami,” ujarnya.
Di sinilah letaknya persoalan sebenar. Tiada siapa mahu menghalang manusia mencari bahagia. Usia bukan tiket untuk seseorang berhenti mencintai.
Tetapi cinta tidak semestinya perlu dipertontonkan setiap masa. Dalam budaya Timur, kemesraan terbuka mempunyai garis sensitiviti tersendiri. Apatah lagi dua insan terbabit belum sah bergelar suami isteri.
Namun, kalau sudah namanya Vida, apalah sangat kecaman orang luar seolah-olah Fazley juga sudah terkena tempias keseronokan menjadi perhatian.
Jadi, Vida dan Fazley, bercintalah. Tiada siapa melarang. Kalau benar sudah bertemu jodoh selepas panjang perjalanan hidup, nikmatilah dengan matang cuma tidak perlulah setiap degup jantung dijadikan kandungan. – HIBGLAM
