PELAKON dan usahawan, Norman Hakim, 50, tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila anak gadisnya, Maria Danisha, kini secara rasmi menginjak usia 18 tahun.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 50, menitipkan pesanan buat Maria Danisha mengenangkan masa berlalu pantas sehingga anaknya kini sudah melangkah ke fasa dewasa.
“Waktu berlalu begitu cepat. Baby saya secara rasmi berusia 18 tahun hari ini. Walaupun Baby semakin dewasa, di mata saya akan selamanya kamu menjadi gadis kecil saya.
“Anak perempuan berharga Papa. Akan selamanya Papa mencintai dan melindungi kamu,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Pelakon drama bersiri Gerak Khas itu turut berkongsi beberapa foto dan video ketika meraikan ulang tahun kelahiran Maria Danisha bersama isteri, Memey Suhaiza, 38, serta anak-anak mereka.
Menurut Norman, usia 18 tahun bukan sekadar angka yang menandakan pertambahan usia, sebaliknya permulaan kepada pengembaraan dalam kehidupan gadis terbabit.
“Ini menandakan perjalanan sebuah kehidupan baharu, di mana kamu akan menemukan hidup, mengejar impian dan membina masa depan sendiri,” ujarnya.
Bapa kepada enam cahaya mata itu turut mengakui tidak dapat sentiasa di sisi anak-anak, namun berjanji akan terus menjadi individu yang memberikan sokongan.
“Papa mungkin tidak dapat selalu bersama di setiap jalan yang kamu lalui, tetapi akan selalu ada di belakang.
“Apabila kamu lelah, tolong lihat ke belakang, insya-Allah Papa ada. Apabila kamu berasa ingin jatuh, hubungi dan insya-Allah Papa ada lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Norman juga mengingatkan permata hatinya agat tidak membiarkan pandangan dunia membuatkannya meragui kemampuan dan nilai diri sendiri.
“Jika dunia pernah membuat kamu meragui diri sendiri, tolong datang ke pelukanku kerana kamu akan selamanya cukup disayangi dengan mendalam dan menjadi kebanggaanku.
“Papa tidak minta Baby jadi sempurna. Hanya jadilah baik, lindungi martabat dan hatimu tetap kuat dalam setiap cabaran, dan selalu letakkan Allah di atas segala sesuatu yang kamu lakukan,” ujarnya.
Menerusi hantaran sama, Norman mendoakan agar anak gadisnya sentiasa dilindungi dan dipandu dalam setiap keputusan yang bakal dibuat ketika memulakan fasa baharu kehidupannya.
“Semoga Allah melindungi kamu ketika Papa tidak dapat berada di sisi kamu, membimbing setiap langkah yang kamu ambil dan memastikan kamu dikelilingi orang-orang yang sangat mencintai kamu,” katanya.
Terdahulu, penghargaan manis Norman kepada anaknya itu menjadi perhatian netizen yang disifatkan jauh berbeza dengan ucapan bekas isterinya, Abby Abadi, sekali gus mengundang perdebatan dalam laman sosial.
Maria Danisha merupakan anak bongsu Norman bersama Abby, 49, yang dikahwini pada 2002 sebelum mereka berpisah tujuh tahun kemudian.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan turut dikurniakan dua lagi cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 23, dan Marissa Dania Hakim, 21.
Selepas bercerai, Norman mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Memey Suhaiza pada 2011 dan dikurniakan tiga anak. – HIBGLAM
