PERNAH berada pada fasa terendah dalam hidup, usahawan juga pempengaruh, Khairul Aming atau KA masih dihantui rasa terkilan apabila tidak mampu membantu arwah bapanya ketika sakit akibat kekangan kewangan.
Khairul atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 34, berkata, perkara itu paling membuatkan dirinya terkilan hingga ke hari ini.
“Saya bukan anak siapa-siapa. Bapa saya sudah tiada, bahkan pencen pun tiada. Sebelum dia meninggal dunia, saya tiada duit. Nak beli ubat untuk dia pun tak ada duit. Dia minta RM50 pun saya tak boleh bagi.
“Saya harap sangat masa itu boleh guna sikit duit jualan tolong masa dia sakit. Rasa sangat tak berdaya, beli ubat tak boleh, nak upah penjaga pun tak mampu.
“Saya kerja makan gaji ketika itu, perlu berada di pejabat dan tidak boleh selalu ada di hospital untuk menjaganya,” katanya sambil menangis ketika siaran langsung di TikTok, semalam.
KA tidak mampu menahan air mata mengenang kembali kesusahan hidup yang dilaluinya sebelum mengecapi kejayaan seperti hari ini.
Lebih memilukan, arwah bapanya juga tidak sempat menyaksikan kejayaan dikecapinnya selepas meninggal dunia sebelum melancarkan produk Sambal Nyet juga antara pencetus kejayaan ahli perniagaan terbabit.
“Selepas bapa meninggal, baru saya lancarkan Sambal Nyet. Jadi, dia tak sempat tengok,” katanya.
Bercerita lagi mengenai perniagaan, KA mendedahkan dia pernah mengambil risiko besar dengan melaburkan hampir semua wang simpanan bagi membangunkan kilang pertama di Kelantan.
Ketika jualan produknya mula meledak, dia memilih untuk tidak menggunakan keuntungan tersebut untuk menikmati kehidupan mewah.
Sebaliknya, kesemua wang berkenaan dipusingkan semula sebagai modal perniagaan sehingga simpanan dalam bank hanya berbaki RM1,000.
“Apabila jualan meledak, saya ambil keputusan tidak belanja apa-apa. Saya tak beli kereta mahal, tak pergi bercuti. Saya pusing balik semua modal, dalam bank tinggal RM1,000 sahaja baki simpanan.
“Semuanya saya laburkan untuk buka kilang pertama dengan 30 orang pekerja yang kesemuanya adalah anak tempatan,” ulasnya.
Terdahulu, arwah bapanya, Kamarulzaman Hussin menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mac 2020.
KA sebelum ini pernah mendedahkan terpaksa memperlahankan penghasilan video di laman sosial sepanjang tempoh tersebut bagi menumpukan perhatian menjaga insan kesayangannya itu.
Sementara itu, menerusi sesi siaran langsung TikTok Shop Live semalam, KA sekali lagi mencipta rekod apabila meraih jualan melebihi RM4 juta.
Terdahulu, lelaki terbabit turut berdepan kritikan segelintir netizen yang mendakwa dirinya seorang kapitalis mengutamakan keuntungan peribadi semata-mata.
Menangkis tuduhan itu, dia menjelaskan perniagaan diusahakan merupakan punca rezeki kepada pelbagai pihak termasuk cukai negara dan pungutan zakat. – HIBGLAM
