‘Kelab peminat Hindia Malaysia bantu pujuk Baskara sertai Ultra Kalcer Malaysia 2026’

“KAMI  memang mahu Hindia untuk Ultra Kalcer Malaysia 2026 dan lega dia setuju untuk sertai festival ini pada minggu lepas.”

Menarik nafas lega, penganjur festival muzik, Ultra Kalcer Malaysia 2026 iaitu Neptunes Present mengesahkan penyanyi, Hindia bakal menjadi ‘headliner’ untuk acara yang akan berlangsung di KL Festival pada 7 dan 8 November depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Izwan Johar, pada awalnya Hindia yang popular dengan lagu Rumah Ke Rumah tidak tersenarai sebagai artis yang akan membuat persembahan memandangkan jadual yang padat di Indonesia.

“Sudah tentu paling mencabar adalah untuk mendapatkan Hindia sebagai ‘headliner’ kerana semasa kami cuba mendapatkannya, mereka agak sibuk dengan persembahan dan festival di Indonesia, jadi komunikasi antara kami agak sukar.

“Hindia juga baru-baru ini ada buat persembahan solo di Megastar Arena Kuala Lumpur tetapi kami tak sempat berjumpa kerana jadualnya sibuk.

Sebenarnya kami sudah pasrah apabila tak berjaya dapatkan Hindia tetapi syukur kelab peminat Hindia Malaysia membantu memujuk Baskara untuk terlibat dalam festival ini,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Izwan menambah, Ultra Kalcer Malaysia 2026 turut menawarkan kelainan menerusi pemilihan barisan artis yang dianggap berbeza daripada festival muzik lain.

“Kalau kita lihat daripada senarai artis yang membuat persembahan, ada kelainan daripada festival lain.

Kalau tengok kebanyakan festival akan ambil kumpulan sama terutama nama besar di Malaysia tetapi kami cuba cari kelainan supaya tidak berulang dengan mana-mana festival lain.

“Kami juga mahu mengetengahkan band-band indie di pentas festival ini,” katanya lagi.

Selain Hindia, festival tersebut turut membariskan 18 artis lain iaitu Kris Dayanti, Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia, Romantic Echoes & The Moonlight Knights.

Manakala, artis tempatan yang turut memeriahkan festival ini ialah Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok