Mohon doakan kes khalwat selesai segera – Aliff Aziz

PENYANYI Aliff Aziz memohon orang ramai mendoakan kes khalwat membabitkan dirinya dengan pelakon, Ruhainies dapat diselesaikan dengan segera.

Menurut pemilik nama lengkap Mohamad Aliff Aziz, 33, dia sudah memberikan kerjasama kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan kini menanti tindakan seterusnya.

Insya-Allah, mohon semua mendoakan yang baik-baik dan semoga kes itu selesai.

“Saya sudah beri kerjasama dengan pihak Jawi, seterusnya kita serahkan kepada mereka untuk tindakan akan datang.” katanya ringkas.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail memaklumkan siasatan kes khalwat membabitkan Aliff Aziz dan Ruhainies telah selesai.

Mohd Ajib berkata kertas siasatan tersebut telah dihantar kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS) untuk tindakan lanjut.

Keputusan selanjutnya terletak kepada pihak JAPENS untuk membuat dakwaan hasil daripada kertas siasatan yang diserahkan.

Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan Ruhainies ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara

Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sekitar pukul 2 petang hari sama.

Ruhainies dalam satu kenyataan berkata keberadaan Aliff di kediamannya adalah untuk bertemu dengan beberapa ahli keluarga lain yang sudah dikenali penyanyi lagu Sayang Sayang itu sejak 10 tahun lalu

Dalam pada itu, dia turut mengakui kekhilafannya di sisi agama kerana berada dalam situasi tersebut sekali gus menimbulkan syak wasangka negatif yang sepatutnya dapat dielakkan.

Semalam, Aliff dan bekas isterinya, Bella AStillah disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok