‘Fikir dulu, semudah itu label lagu saya sampah’

PENYANYI Nabila Razali menyelar tindakan individu yang melabel karyanya sebagai sampah terlalu mudah menghukum hasil kerja seni orang lain.

Tambah Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 33, dia tidak marah dengan hantaran tersebut, sebaliknya berharap masyarakat lebih menghormati penat lelah penggiat seni sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka.

“Ada seseorang tangkap layar komen ini dan hantar kepada saya. Tak marah cuma kadang-kadang tak semua perkara yang kita fikir itu betul.

“Jadi, sebelum buka mulut, sebelum taip sesuatu fikir dulu. Semudah itu label lagu sampah tanpa fikir usaha dan penat lelah orang lain.

“Apa pun tahniah awak direzekikan dengan kerja sekarang. Tak perlu hadap pembuli jalan raya tapi tanpa sedar awak juga membuli orang lain,” ujar Nabila.

Kenyataan tersebut disuarakan selepas seorang pengguna Threads mengakui lega tidak perlu bekerja di pejabat, sekali gus terhindar daripada daripada kemelut jalan raya serta mendengar lagu-lagu nyanyian Nabila.

“Sekarang saya faham kenapa Tuhan tidak mengizinkan saya kerja ‘office hours’. Apa nak buat kena hadap ‘lane hoggers’, pembuli jalan raya dan paling teruk sekali lagu-lagu Nabila Razali pada pukul 7.30 pagi.

“Aku tak nak gadaikan kesihatan mental aku atas semua benda itu. Aku lebih bahagia terus bekerja selama 22 jam di dapur sendiri, pasang lagu Adele daripada dengar lagu sampah macam Cumi-Cumi dalam jem, kita baran,” katanya dalam Threads.

Sebelum ini, Nabila berkongsi pengalaman ditegur peminat yang menggelarnya sebagai artis bersuara ‘chipmunk’ sebelum mengajaknya berswafoto.

Pelantun lagu Peluang Kedua itu mengakui terkejut apabila disapa dengan kata-kata sebegitu selain mempersoalkan mengenai adab individu terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok