TIDAK meletakkan tudung sebagai syarat dalam memilih pasangan, penyanyi Hussain mengakui lebih mengutamakan akhlak serta cara seseorang wanita melayani ibu bapanya.
Ujar Hussain atau nama sebenarnya Jamak Hussain Jamilul Hayat, 23, aspek fizikal bukan keutamaan utama dalam mencari teman hidup kerana baginya, karakter serta rasa hormat terhadap keluarga jauh lebih penting.
“Saya sebenarnya ada tiga perkara sahaja penting bagi saya iaitu menghormati ibu bapa, selain mempunyai peribadi baik serta wajah cantik dan comel.
“Saya tidak kisah pasangan bertudung atau tidak. Paling penting, akhlaknya mesti cantik dan pandai menjaga serta menghormati ibu bapa. Itu paling utama.
“Selain itu, saya seorang lelaki dan mahu menjadi ‘gentleman’. Saya tidak suka perempuan cuba mengejar atau menguji saya. Biar saya sendiri mendekatinya,” katanya menerusi sebuah program temu bual.
Tambah pelantun lagu Takkan Pernah itu, dia lebih tertarik kepada wanita berperwatakan sederhana, tidak terlalu menonjol serta mempunyai sisi tenang seperti dirinya.
“Kalau saya tidak sedar kehadiran dia, mungkin maksudnya belum ada rezeki.
“Saya suka perempuan berprofil rendah, tidak banyak menonjolkan diri, tetapi perlahan-lahan membuatkan saya sedar akan kehadirannya.
“Saya tidak suka perempuan terlalu menunjuk-nunjuk. Saya sendiri pun jenis tenang dan lebih selesa dengan perkara sederhana,” ujarnya.
Paling penting tegas Hussain, dia cenderung menunjukkan kasih sayang melalui perbuatan, malah menganggap dirinya mempunyai sifat ‘abang-abang’ apabila keluar bersama wanita.
“Kalau keluar bersama saya, perangai saya sedikit seperti abang. Kalau pergi makan, saya akan ambilkan makanan untuk dia.
“Saya memang jenis suka menunjukkan perhatian melalui perbuatan. Kalau keluar dengan perempuan, saya akan anggap dia seperti adik sendiri dan cuba memastikan dia selesa,” jelasnya.
Perkongsian Hussain mengenai ciri wanita pilihan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, terutama apabila dia secara terbuka mengakui tidak menjadikan pemakaian tudung sebagai ukuran utama.
Rata-rata netizen menyifatkan pendirian penyanyi muda itu sebagai pandangan peribadi dalam memilih pasangan, selain memuji penekanannya terhadap aspek akhlak serta hubungan bersama keluarga.
Namun, terdapat juga segelintir pengguna media sosial berpendapat soal pemakaian tudung tidak wajar dipandang ringan, terutama apabila membabitkan pasangan Muslim. – HIBGLAM.
