Anak Jamal Abdillah kembali kepada nama Osama Yamani

SELEPAS tujuh tahun menggunakan nama Yamani Abdillah sebagai identiti seni, anak kepada penghibur legenda Datuk Jamal Abdillah, Yamani Abdillah bakal kembali menggunakan nama Osama Yamani.

Yamani, 25, berkata dia akan menyahaktifkan akaun Instagram pada penghujung 2026 sebagai sebahagian daripada usaha kembali menggunakan nama diberikan bapanya.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana mahu menghargai nama Osama Yamani yang dipilih dan diberikan bapanya sejak dilahirkan.

“Saya nak cakap sikit ringkas tentang Instagram saya, Yamani Abdillah. Ini akan dinyahaktifkan pada hujung tahun ini, insya-Allah.

“Kepada semua, saya menyeru untuk sokong Instagram baharu saya, Osama Yamani kerana saya nak pakai nama Osama Yamani ini.

“Sebab saya nak hargai apa yang ayah saya bagi kepada saya sendiri. Saya nak pakai nama Osama Yamani,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Dalam perkongsian sama, juara program Famili Duo musim dua bersama adiknya, Zaki Yamani itu turut merakamkan penghargaan kepada peminat yang selama ini memberikan sokongan kepadanya sepanjang menggunakan nama Yamani Abdillah sejak 2019.

Katanya, sokongan peminat menjadi antara perkara yang membantu menghidupkan perjalanan karier seninya termasuk menghasilkan karya dan lagu yang dikenali menerusi nama tersebut.

“Terima kasih yang sokong Yamani Abdillah daripada 2019 sampailah sekarang. Terima kasih banyak-banyak.

“Kalau tak ada anda, mungkin Yamani Abdillah takkan hidup, takkan wujud lagu-lagu dia.

“Terima kasih sokong, terima kasih sokong Bunga Seroja sampailah habis. Jadi insya-Allah, Osama Yamani akan datang,” ujarnya.

Bagaimanapun, keputusan untuk kembali menggunakan nama Osama bukanlah sesuatu yang dilakukan tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat terhadap nama tersebut.

Yamani mengakui ada pihak yang menganggap nama Osama sebagai sensitif, namun perkara itu tidak menghalangnya daripada cuba mengembalikan nama berkenaan sebagai identiti baharu.

Malah, sebelum ini dia sudah cuba menggunakan huruf ‘O’ yang digantikan dengan angka sifar ketika mendaftarkan nama tersebut di media sosialnya.

“Walaupun orang cakap sensitif nama Osama itu, tapi saya dah cuba, cuba juga gantikan ‘O’ itu dengan kosong (0) dan lepas untuk nama Instagram dan nama pentaslah, insya-Allah,” katanya,” HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok